Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Penyalaan Lampu Sempena HAWE 2026
Sumber : Siaran Media JAPEM
Foto : Muhd Aiman Sufyan – JAPEM, ihsan JKR
Sebagai usaha untuk menyokong dan memeriahkan lagi sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2026 / kali ke-23 yang disambut setiap 1 Oktober, Negara Brunei Darussalam akan menyalakan lampu berwarna kuning keemasan (gold) di beberapa buah tempat iaitu di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS), bangunan Stadium Negara Hassanal Bolkiah dan Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja. Sambutan pada tahun ini membawa tema “Ke Arah Penuaan Berjaya”, sebagai simbol penghargaan dan sokongan terhadap warga emas di negara ini.
Penyalaan lampu di lokasi tersebut akan berlangsung selama dua malam, bermula pada 30 September hingga 1 Oktober 2026, dari jam 7.00 malam hingga 12.00 tengah malam. Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk memperingati jasa-jasa warga emas dalam menyumbang kepada pembangunan negara, tetapi juga sebagai memberi penghormatan dan penghargaan kepada warga emas.
Warna kuning keemasan (gold) dipilih sebagai warna tema rasmi Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas bagi menunjukkan warga emas yang meniti usia emas, serta menggambarkan kekayaan pengalaman dan sumber pengetahuan mereka yang dapat dimanfaatkan oleh generasi muda sebagai panduan cara hidup.
Sebagai tanda sokongan dan penyertaan orang ramai dalam inisiatif ini, orang ramai digalakkan untuk mengambil gambar lokasi-lokasi yang diterangi cahaya kuning keemasan dan memuat-naiknya ke media sosial dengan menggunakan hashtag #HAWE2026. Diharapkan inisiatif ini memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menghargai, melindungi dan menyokong warga emas dalam aspek kekeluargaan, penjagaan serta kesejahteraan dapat terus diperkukuhkan.
