gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-43, Tahun 2027

 

Sumber : Siaran Media KKBS

Foto : Muhd Azinuddin – KKBS

 

 

BERAKAS, Rabu, 15 Jamadilakhir 1448 / 25 November 2026 – Dalam memastikan kelancaran Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-43 pada tahun 2027, yang akan berlangsung bertepatan dengan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja telah ditubuhkan untuk mengatur dan menyelaras segala aspek pengendalian. Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-43, Tahun 2027 telah diadakan di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, pagi tadi.

Jawatankuasa ini berperanan untuk merancang, menyelaras serta menjayakan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-43, Tahun 2027, yang bukan sekadar acara tahunan tetapi merupakan manifestasi rasa syukur atas nikmat kemerdekaan, keamanan dan kedaulatan, di samping menjadi wadah memperbaharui iltizam dalam memperkukuh perpaduan, semangat patriotisme serta taat setia kepada raja dan negara. Pada masa yang sama, memandangkan sambutan kali ini jatuh dalam bulan suci Ramadan, perhatian khusus diberikan dalam merangka konsep, pengisian dan tatacara pelaksanaannya adalah selaras dengan tuntutan ibadah, kesesuaian waktu serta keberkatan bulan yang mulia tersebut.

Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama; dan Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Dayang Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, Menteri Pendidikan selaku Pengerusi Bersama.

Agenda Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-43, Tahun 2027 kali ini memfokuskan kepada rumusan post-mortem Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026; logo dan tema serta huraian tema bagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-43, Tahun 2027; cadangan format acara kemuncak sambutan, dan acara-acara sambutan termasuk tarikh Upacara-Upacara Menaikkan dan Menurunkan Bendera Besar, Majlis Pengagihan Bendera Kecil Meja dan Program Semarak Pengibaran Bendera, dan Majlis Khatam Al-Quran 43 Kali.

Turut hadir, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, selaku Penasihat Bersama; Yang Mulia Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Mulia Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, dan Yang Mulia Grand Chamberlain,  selaku Timbalan Pengerusi Bersama; Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-43, Tahun 2027.