gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN mengenai Sukan Kali Ke-17

 

Sumber : Siaran Media dan Foto KKBS

 

 

SIEM REAP, KEMBOJA, Jumaat, 12 Jamadilawal 1448/23 Oktober 2026 – Negara Brunei Darussalam terus komited dalam memperkukuh kerjasama ASEAN dalam bidang sukan serta melaksanakan Pelan Kerja ASEAN mengenai Sukan (ASEAN Work Plan on Sports – AWPS) 2026–2030 melalui penyertaan dalam Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN mengenai Sukan Kali Ke-17 (17th ASEAN Senior Officials Meeting on Sports – SOMS-17) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan. Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat-mesyuarat tersebut yang berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober 2026 di Siem Reap, Kemboja.

Mesyuarat SOMS-17 dianjurkan oleh Kerajaan Kemboja melalui Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan, dan dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Vath Chamroeun, Setiausaha Negara di Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan sukan dari Negara-Negara Anggota ASEAN serta Sekretariat ASEAN. Mesyuarat meneliti kemajuan pelaksanaan AWPS 2026–2030, iaitu rangka kerja lima tahun yang menjadi panduan bagi kerjasama sukan ASEAN, serta inisiatif-inisiatif sukan di peringkat serantau. Sesi terbuka mesyuarat turut dihadiri oleh rakan kerjasama dan entiti yang berkaitan dengan ASEAN.

Dalam mesyuarat SOMS-17, Negara Brunei Darussalam berkongsi perkembangan utama berhubung sumbangannya dalam kerjasama sukan serantau, termasuk penganjuran Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN Kali Ke-14 pada November 2025, perkembangan Fasa II Zon Sukan ASEAN (ASEAN Sports Zones Phase II) serta sambutan Hari Sukan ASEAN 2025.

Pada 21 Oktober 2026, Negara Brunei Darussalam turut menyertai Mesyuarat SOMS+Jepun Kali Ke-9 (9th SOMS+Japan), yang dipengerusikan bersama oleh Kemboja dan Jepun. Mesyuarat tersebut meneliti kemajuan pelaksanaan inisiatif ASEAN-Jepun mengenai sukan, termasuk kesaksamaan gender, pendidikan jasmani dan sukan untuk pembangunan, kejurulatihan, pembangunan kapasiti antidoping serta inisiatif Bola Sepak bagi Matlamat Pembangunan Mampan (Football for SDGs).

Pada 22 Oktober 2026, Negara Brunei Darussalam turut menyertai Mesyuarat SOMS+China Kali Ke-5 (5th SOMS+China), yang dipengerusikan bersama oleh Kemboja dan China. Mesyuarat tersebut bertukar-tukar pandangan mengenai bidang keutamaan kerjasama sukan ASEAN-China, termasuk sains sukan, Program Biasiswa Sukan ASEAN-China (ASEAN-China Sports Scholarship Programme), sukan dan permainan tradisional serta ASEAN Sports Zones.

Di samping itu, Negara Brunei Darussalam, yang diwakili oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), turut menghadiri Mesyuarat Pertama Kumpulan Kerja mengenai Pelaksanaan Memorandum Persefahaman ASEAN-FIFA (1st Meeting of the Working Group on the Implementation of the ASEAN-FIFA Memorandum of Understanding).

Delegasi Negara Brunei Darussalam turut disertai oleh dua orang pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.