gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Mesyuarat Kedua bagi Musim Permesyuaratan ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448H/2026M

 

Sumber : Pelita Brunei

Foto :Khairul Anwar – DBP, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Azmah Haji Ahad -Penerangan

 

Usaha pembasmian kemiskinan akan terus diperkukuhkan

 

“Setakat ini seramai 14,677 orang masih menerima bantuan kebajikan secara aktif. Daripada jumlah tersebut 14,079 orang atau 95.9 peratus merupakan penerima yang dikategorikan sebagai able-bodied and able to work. Bagi kumpulan ini, pendekatan kementerian bukan hanya tertumpu kepada pemberian bantuan malah turut memberi penekanan kepada pembangunan keupayaan, peningkatan kemahiran dan penyediaan laluan peralihan, transition pathways ke arah pekerjaan, keusahawanan dan kehidupan yang lebih berdikari.

“Walaupun pada masa ini pendekatan tersebut belum dilaksanakan sebagai satu syarat mandatori atau perjanjian formal kepada semua penerima bantuan, memandangkan setiap penerima mempunyai latar belakang, tanggungjawab, keluarga dan tahap keupayaan yang berbeza, JAPEM secara berterusan menggalakkan serta membimbing penerima yang berkeupayaan untuk menyertai pelbagai program pemerkasaan yang bersesuaian dengan keperluan mereka,” kongsi Yang Berhormat.

Berita penuh —

 

 

Memperkukuh penggunaan, integrasi data yang lebih komprehensif

 

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha berkata pada dasarnya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) setuju bahawa pengukuran keupayaan dan kesejahteraan masyarakat berasaskan data merupakan elemen penting dalam memastikan dasar dan program sosial sentiasa relevan, bersasar dan memberi impak.

Walau bagaimanapun tambah Yang Berhormat, pendekatan kementerian pada masa ini adalah untuk meneliti dan memanfaatkan indeks data dan indikator yang sedia ada yang relevan sebagai rujukan untuk diguna pakai serta menumpukan kepada penyelesaian isu-isu keutamaan tanpa perlu membangunkan satu indeks kebangsaan yang berasingan.

Oleh yang demikian, Yang Berhormat mengongsikan setakat ini, kerajaan tidak menggunakan satu Indeks Keupayaan Masyarakat yakni Community Capability Index yang tunggal.

Berita penuh —

 

 

Belia diperkasa dengan kemahiran AI, digital, keusahawanan

 

Jelas Yang Berhormat lagi, keupayaan dan potensi belia negara dalam bidang AI, teknologi dan inovasi digital semakin menyerlah, yang antara lain dibuktikan melalui pencapaian mereka dalam pertandingan dan platform berprestij di peringkat nasional dan antarabangsa.

Antara platform berkenaan termasuk APICTA, BICTA, The Crown Prince CIPTA Award dan AI Ready ASEAN Youth Challenge yang melibatkan penyertaan belia daripada pelbagai institusi pendidikan, termasuk sekolah-sekolah, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan institusi-institusi lain kongsi Yang Berhormat.

Pencapaian tersebut, jelas Yang Berhormat, mencerminkan bakat, kreativiti dan keupayaan generasi muda negara untuk bersaing serta menghasilkan inovasi dalam bidang teknologi yang semakin berkembang.

Dalam pada itu tambah Yang Berhormat, Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035 turut menyelaraskan agenda pendigitalan dalam pembangunan belia. Dasar berkenaan merupakan dokumen yang sentiasa disesuaikan dengan keperluan dan persekitaran semasa, termasuk keperluan terhadap kemahiran digital dan AI selaras dengan Pelan Digital Brunei 2030.

Berita penuh —

 

 

Industri sukan berpotensi jadi sektor strategik ekonomi negara

 

Menurut Yang Berhormat, peningkatan penyertaan masyarakat dalam pelbagai acara sukan, termasuk sukan komuniti seperti larian, berbasikal, kejohanan sukan rekreasi dan aktiviti kecergasan, telah membuka ruang kepada perusahaan tempatan untuk terlibat dalam pelbagai bidang.

Antaranya termasuk pengurusan acara, pembekalan peralatan dan pakaian sukan, penyediaan makanan dan minuman, pengangkutan, penginapan, pemasaran digital serta perkhidmatan kreatif.

Yang Berhormat turut memberikan contoh penganjuran Festival Sukan yang baru-baru ini dilaksanakan sebagai antara inisiatif pengurusan acara melalui kerjasama pihak kerajaan. Penganjuran berkenaan bukan sahaja menggalakkan penyertaan orang ramai, malah turut merancakkan aktiviti ekonomi tempatan serta menggerakkan pengusaha mikro, kecil dan sederhana di sekitar lokasi acara.

Berita penuh —