Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Mesyuarat Ke-36 Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN
Sumber : Siaran Media & Foto KKBS
PASAY CITY, REPUBLIC OF THE PHILIPPINES, Jumaat, 26 Jamadilawal 1448 / 6 November 2026 – Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, selaku Menteri Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) bagi Negara Brunei Darussalam, telah menghadiri Mesyuarat Ke-36 Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN pada 6 November 2026 di Pasay City, Republik Filipina.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Rexlon Ting Gatchalian, Setiausaha Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Republik Filipina, selaku Pengerusi Majlis ASCC, di bawah tema Kepengerusian ASEAN Republik Filipina, “Navigating Our Future, Together”.
Mesyuarat tersebut menegaskan semula komitmen Negara-Negara Ahli ASEAN dalam memajukan ASEAN yang berpaksikan rakyat, inklusif dan berdaya tahan melalui pelaksanaan Pelan Strategik ASCC di bawah Wawasan Komuniti ASEAN 2045, dengan penekanan khusus terhadap usaha merealisasikan komitmen serantau kepada dasar dan program yang konkrit dan stererusnya memberikan manfaat kepada rakyat ASEAN.
Semasa mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengalu-alukan kemajuan yang dicapai dalam pelaksanaan Pelan Strategik ASCC dan menekankan akan pentingnya memperkukuhkan kerjasama serantau dalam menangani cabaran yang saling berhubung kait, di samping memupuk semangat identiti dan kebersamaan yang lebih kukuh di kalangan Negara-Negara Ahli ASEAN.
Yang Berhormat turut menekankan bahawa kekuatan utama tunggak ASCC terletak pada mandat yang berteraskan rakyat, sebagai penghubung penting antara komitmen serantau di peringkat tertinggi dengan peningkatan yang nyata dalam kehidupan rakyat melalui kemajuan sosial, pembangunan modal insan dan kesejahteraan yang mampan.
Yang Berhormat juga telah mengalu-alukan Sistem Perancangan, Pemantauan, Penilaian dan Pembelajaran ASCC (Planning, Monitoring, Evaluation and Learning – PMEL) yang telah dilancarkan semasa Majlis Pembukaan Mesyuarat Ke-36 Majlis ASCC. Bersama-sama dengan ASCC Results Framework, sistem tersebut dijangka dapat memperkukuh proses membuat keputusan yang berasaskan bukti, meningkatkan akauntabiliti serta memudahkan pemantauan yang lebih berkesan terhadap pelaksanaan Pelan Strategik ASCC, termasuk Deklarasi dan Pelan Tindakan Badan-Badan Sektoral ASCC yang berkenaan.
Yang Berhormat seterusnya menyatakan sokongan Negara Brunei Darussalam terhadap keutamaan Kepengerusian Republik Filipina di bawah R.I.S.E., yang merangkumi institusi keluarga yang kukuh dan berdaya tahan; pembangunan inklusif, belia berkemahiran dan inovatif; serta masa depan yang mampan dari segi alam sekitar dan terjamin dari segi keselamatan makanan. Yang Berhormat seterusnya menekankan keselarasan keutamaan tersebut dengan usaha-usaha kebangsaan Negara Brunei Darussalam serta menegaskan semula komitmen untuk memberikan manfaat yang nyata demi kesejahteraan rakyat.
Mesyuarat tersebut telah memberikan penkanan semula Pelan Strategik ASCC sebagai kerangka bagi memajukan keutamaan sosio-budaya ASEAN, melancarkan Sistem PMEL yang merangkumi ASCC Database for Monitoring and Evaluation (ADME) 2.0 yang telah dipertingkatkan, serta mengesahkan Laporan Mesyuarat Ke-36 Majlis ASCC untuk dihadapkan kepada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 bagi pertimbangan Ketua-Ketua Kerajaan/Negara ASEAN. 9. Mesyuarat Ke-36 Majlis ASCC telah didahului oleh Mesyuarat Ke-41 Senior Officials Committees’ for ASEAN Socio-Cultural Community (SOCA) yang telah diadakan pada 4 November 2026, dan dihadiri oleh Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, selaku Ketua SOCA bagi Negara Brunei Darussalam, bersama pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
