gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Majlis Perasmian Arca Dream Boat

 

Sumber : Siaran Media KKBS

Foto : Muhd Azinuddin – KKBS, Md Nasrullah – JMM

 

 

Bandar Seri Begawan, Rabu, 27 Rabiulawal 1448 bersamaan 09 September 2026 – Majlis Perasmian Arca Dream Boat telah diadakan hari ini di Muzium Maritim Brunei Darussalam, Kota Batu, dan disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; dan Yang Mulia Mr. Xu Feng, Member of the Standing Committee of the CPC Nanjing Municipal Committee dan Vice Mayor of Nanjing Municipal People’s Government.

 

Majlis tersebut diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-35 Penubuhan Hubungan Diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China; Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Penubuhan Hubungan Bandar Berkembar (Sister Cities) antara Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam dan Bandar Nanjing, Republik Rakyat China; serta Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80.

 

Arca Dream Boat merupakan sumbangan daripada Nanjing kepada Negara Brunei Darussalam sebagai simbol persahabatan, kerjasama dan pertukaran budaya yang erat antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China. Melalui seni arca kontemporari, karya tersebut mencerminkan hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua negara serta aspirasi bersama untuk terus memperkukuh persefahaman dan pertukaran budaya antara rakyat kedua-dua negara.

 

Arca tersebut juga melambangkan hubungan bandar berkembar antara Bandar Seri Begawan dan Bandar Nanjing yang terjalin selama 15 tahun, sekali gus mencerminkan komitmen kedua-dua bandar untuk terus mempererat hubungan persahabatan dan kerjasama dalam bidang-bidang yang berkepentingan bersama.

 

Turut hadir ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Terutama Duta-Duta Besar dan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi negara-negara sahabat ke Negara Brunei Darussalam; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap; Pengarah-Pengarah; serta Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan.