gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Asia Ke-20, Aichi-Nagoya-Japan 2026

 

Sumber : Siaran Media JBS

Foto : Muhd Azinuddin – KKBS, Md Adi Muadz – JBS 

 

 

BERAKAS, Isnin, 2 Rabiulakhir 1448 / 14 September 2026. – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC), berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Asia Ke-20, Aichi-Nagoya-Japan 2026 yang diadakan di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

 

Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Metassan bin Haji Tahir, diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan mengurniakan sabda, seterusnya menyempurnakan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam kepada Yang Mulia Dayang Nur Iffah Natasha Sofea binti Abdullah selaku Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Asia Ke-20, Aichi-Nagoya-Japan 2026. Majlis diakhiri dengan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Metassan bin Haji Tahir, diikuti dengan sesi bergambar ramai bersama Duli Yang Teramat Mulia.

 

Turut hadir ialah Yang Mulia Puan Miura Keiko, Chargé d’Affaires ad interim, wakil Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam; Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS); Yang Mulia Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS; Yang Mulia Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid, Timbalan Setiausaha Tetap, KKBS; Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; wakil-wakil Persatuan Sukan Kebangsaan; dan pegawai-pegawai kanan KKBS; serta keluarga atlet.

 

Sukan Asia merupakan temasya sukan peringkat benua dikalangan atlet dari seluruh Asia yang diadakan setiap empat tahun sekali. Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Olympic Council of Asia (OCA) dan ianya digambarkan sebagai temasya sukan kedua terbesar selepas Sukan Olimpik dan pada tahun ini ianya diadakan di Wilayah Aichi, Nagoya, Jepun bermula pada 19 September hingga 4 Oktober 2026.

 

Bagi temasya Sukan Asia Ke-20 Tahun 2026, Negara Brunei Darussalam akan diwakili oleh seramai 12 orang ahli kontinjen, yang terdiri daripada enam orang atlet dan enam orang pegawai. Enam orang atlet tersebut, iaitu lima atlet lelaki dan seorang atlet wanita akan bersaing dalam dua acara sukan iaitu Karate dan Wushu. Sementara itu, barisan pegawai kontinjen terdiri daripada seorang Chef de Mission (CDM), seorang Ketua Urus Setia, seorang Pegawai Perubatan dan tiga orang jurulatih.

 

Negara Brunei Darussalam mula mengikuti Sukan Asia pada tahun 1990. Kali terakhir negara menyertai kejohanan tersebut ialah pada tahun 2022 yang diadakan di Hangzhou, China.

 

Kontinjen negara dijangka bertolak ke Nagoya, Jepun pada 15 September 2026.