Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Karangan Majalah Naindung, Mekar, Juara Pelajar DBP 2026
Sumber : Siaran Media dan Foto DBP
BERAKAS, Sabtu, 11 Jamadilakhir 1448/21 November 2026 – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Sastera dan Majalah telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Karangan Majalah Naindung, Mekar, Juara Pelajar DBP 2026 di Balai Sarmayuda, DBP.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Turut hadir, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Yang Mulia Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, Pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kerajaan, pengetua, guru-guru, ibu bapa serta para pelajar.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Allah Peliharakan Sultan, diikuti dengan bacaan doa “Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam” serta Sesi Baca Buku 10 Minit. Majlis turut diserikan dengan persembahan sketsa lakonan oleh para pelajar Sekolah Ugama Arab Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Seterusnya, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Sharyanty binti Haji Md. Sharif, Pegawai Bahasa selaku Penolong Setiausaha. Dalam ucapannya, menjelaskan bahawa matlamat pertandingan bukan sekadar medan mencari pemenang, malah menjadi platform melahirkan generasi pelapis yang gemar membaca, berani berfikir kritis dan mencintai dunia penulisan. Perkara ini selaras dengan komitmen berterusan DBP dalam menyediakan ruang kepada generasi muda untuk berkarya melalui penerbitan majalah serta buku tempatan, sekali gus memastikan kesinambungan dunia penulisan tanah air.
Peraduan menulis karangan ini merupakan kegiatan tahunan DBP bertujuan untuk mencungkil dan mengembangkan bakat penulisan kreatif dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, di samping memupuk budaya membaca, memperkasa penggunaan bahasa Melayu dan menggalakkan penghasilan karya yang bermutu.
Peraduan tahunan yang dibukakan bermula pada 1 Oktober 2025 hingga 30 September 2026 ini mencatatkan sambutan menggalakkan dengan penerimaan sebanyak 263 buah karangan daripada pelajar di seluruh negara.
Para pemenang bagi setiap kategori menerima hadiah berupa wang tunai berserta plak, sijil penghargaan, majalah terbitan DBP dan hadiah tajaan. Majlis turut menyaksikan penyampaian Hadiah Penghargaan Penyertaan Sekolah Terbaik dan Hadiah Penghargaan Jualan Majalah Terlaris Tahun 2026 sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan sokongan pihak sekolah dalam menyemarakkan budaya membaca dan menulis.
Penganjuran majlis ini turut mendapat sokongan dan tajaan daripada rakan-rakan korporat, iaitu Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Gedung Perniagaan Aman Jaya (Hua Ho Department Store), Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn. Bhd., Entrek (B) Sdn. Bhd. (Jollibee Brunei), IBIC Sdn. Bhd. (SEHAT Water) dan Firoz Jaya Silkhouse Sdn. Bhd.
Menerusi inisiatif ini, DBP berharap penggunaan majalah terbitannya sebagai bahan bacaan tambahan berkualiti dapat diperluas, di samping melahirkan penulis muda yang mahir menghasilkan karya kreatif dan bukan kreatif dengan penggunaan bahasa Melayu yang tepat serta berkesan.
