Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Majlis Penutupan Rasmi SKBD Ke-V, Tahun 2026
Sumber : Siaran Media KKBS
Foto : Md Adi Muadz – JBS
BERAKAS, Sabtu, 4 Jamadilakhir 1448 / 14 November 2026 – Kejohanan Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Ke-V, Tahun 2026 yang bermula secara rasminya pada 8 November 2026 yang lalu telah menutup tirainya hari ini dengan Majlis Penutupan Rasmi yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
Majlis Penutupan Rasmi berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Tetamu Kehormat Majlis.
Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja SKBD Ke-V, Tahun 2026, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengarah-Pengarah dan Ketua-Ketua Jabatan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pegawai-Pegawai Daerah, Yang Dipertua dan Setiausaha Agung Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan, Ketua-Ketua Kontinjen, Pegawai-Pegawai Teknikal, para pegawai dari agensi kerajaan dan swasta, serta para atlet kontinjen termasuk para atlet legenda negara.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Allah Peliharakan Sultan diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Yaardy bin Haji Abdul Karim, Pegawai Penganalisa Sukan dan diselajurkan dengan ucapan daripada Tetamu Kehormat Majlis.
Bagi mengiktiraf sumbangan dan sokongan daripada pelbagai pihak, Tetamu Kehormat Majlis telah menyempurnakan penyampaian cenderamata penghargaan kepada Ketua-Ketua Kontinjen, Pegawai-Pegawai Teknikal, Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan, serta sijil penghargaan kepada Sukarelawan, Sukarelawan Perubatan dan para penaja SKBD Ke-V, Tahun 2026 atas sumbangan mereka sebagai rakan strategik yang turut menjadi pemangkin kejayaan penganjuran kejohanan ini.
Kemuncak majlis ialah penyampaian anugerah-anugerah berprestij kejohanan, iaitu Anugerah Olahragawan dan Olahragawati SKBD Ke-V, Tahun 2026. Anugerah Olahragawan SKBD Ke-V, Tahun 2026 telah dinobatkan kepada Yang Mulia Asher Nathan Liw Yiu Zhun, atlet renang dari Kontinjen Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MS SSBD). Manakala Anugerah Olahragawati SKBD Ke-V, Tahun 2026 pula dinobatkan kepada Yang Mulia Dayang Sharmeen binti Mohd Mharvin, atlet renang dari Kontinjen Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MS SSBD).
Majlis seterusnya menyaksikan penyampaian hadiah kepada yang mencapai kedudukan terbaik dalam kejohanan. Kontinjen Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) menduduki tempat ketiga dengan kutipan sebanyak 21 pingat emas, 8 pingat perak dan 20 pingat gangsa. Naib johan disandang oleh Kontinjen Daerah Brunei dan Muara dengan meraih sebanyak 27 pingat emas, 34 pingat perak dan 28 pingat gangsa. Manakala Kontinjen Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MS SSBD) telah muncul sebagai johan SKBD Ke-V, Tahun 2026 dengan kutipan sebanyak 45 pingat emas, 22 pingat perak dan 25 pingat gangsa.
Para hadirin turut menyaksikan tayangan video imbasan SKBD Ke-V, Tahun 2026 yang mengimbau kembali detik-detik manis, semangat perjuangan dan kejayaan yang dipamerkan oleh para atlet sepanjang kejohanan berlangsung.
Majlis kemudiannya diakhiri dengan pengisytiharan Penutupan Rasmi SKBD Ke-V, Tahun 2026 oleh Tetamu Kehormat Majlis.
Secara keseluruhannya, penganjuran Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam bukan sahaja berperanan sebagai medan mencungkil bakat dan memajukan prestasi atlet berwibawa untuk mewakili negara ke peringkat serantau dan antarabangsa, malah menjadi wadah penting dalam memupuk perpaduan, kerjasama erat serta membudayakan gaya hidup sihat demi melahirkan masyarakat yang produktif dan negara yang makmur.
