gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Majlis Pembukaan Rasmi SKBD Ke-V, Tahun 2026

 

Sumber : Siaran Media KKBS
Foto : Md Adi Muadz – JBS

 

 

BERAKAS, Ahad, 28 Jamadilawal 1448 / 8 November 2026 – Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Ke-V, Tahun 2026 membuka tirai secara rasminya hari ini dengan Majlis Pembukaan Rasmi yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah. Majlis berkenaan mempertemukan seramai 1,382 orang atlet, pegawai dan jurulatih daripada tujuh kontinjen yang mengambil bahagian.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam Ke-V, Tahun 2026; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Pesuruhjaya Polis; Setiausaha-Setiausaha Tetap; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap; Yang Dipertua dan Setiausaha Agung Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan serta pegawai-pegawai dari agensi kerajaan dan swasta.

Majlis dimulakan dengan perbarisan lalu Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei yang diketuai oleh Yang Mulia Inspektor Kanan Pengiran Mohammad Alizan bin Pengiran Haji Aliuddin, Pemangku Pengarah Muzik, Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei. Seterusnya, diikuti dengan Pembawa Bendera Negara dan Bendera Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam seramai 22 orang yang terdiri daripada Pasukan Kadet Polis Diraja Brunei, Pasukan Kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Alumni Program Khidmat Bakti Negara serta Kumpulan Penyanyi dan Penari Tahun Melawat Brunei 2027.

Majlis diteruskan dengan perbarisan lalu Atlet Legenda yang terdiri daripada olahragawan dan olahragawati yang pernah mengharumkan nama negara menerusi pencapaian cemerlang serta kejayaan dalam arena sukan; Pasukan Atlet Masa Hadapan (Future Athletes) yang diwakili oleh seramai 65 orang atlet muda berbakat dan berpotensi tinggi melalui program pencarian bakat di peringkat akar umbi; serta Pegawai Teknikal Sukan yang diwakili seramai 407 orang pegawai.

Majlis diteruskan lagi dengan perbarisan lalu daripada kontinjen-kontinjen yang bertanding, iaitu:

  • Kontinjen Daerah Brunei dan Muara diketuai oleh Yang Mulia Awang Mohammad Abdul Hadi bin Haji Mohd Syarifuddin (234 atlet dan pegawai).
  • Kontinjen Daerah Belait diketuai oleh Yang Mulia Pengiran Kamal Ariffin bin Pengiran Haji Md Yassin (250 atlet dan pegawai).
  • Kontinjen Daerah Tutong diketuai oleh Yang Mulia Awang Mohammad Adi Asnawi bin Haji Awang Adanan (231 atlet dan pegawai).
  • Kontinjen Daerah Temburong diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Suhaili (170 atlet dan pegawai).
  • Kontinjen Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei diketuai oleh Yang Mulia 801 Komander Awang Haji Mohammad Arnold bin Haji Osman (234 atlet dan pegawai).
  • Kontinjen Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei diketuai oleh Yang Mulia Penguasa Kanan Polis Awang Haji Mohammad Noor bin Haji Abdul Rahman (104 atlet dan pegawai).
  • Kontinjen Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam diketuai oleh Yang Mulia Awang Julaihi bin Mohamad/Mohamat (159 atlet dan pegawai).

Majlis disusuli dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Allah Peliharakan Sultan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam Ke-V, Tahun 2026 dan diteruskan dengan pengisytiharan Pembukaan Rasmi kejohanan.

Majlis dilanjutkan dengan bacaan Ikrar Sukan yang dipimpin oleh Yang Mulia 55853 Laskar Awang Mohd Ali Saifullah bin Abdullah Mohammad Suhaimi, atlet sukan Pencak Silat daripada Kontinjen Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Ikrar Teknikal Sukan yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Harjimmey bin Haji Zainal, Ahli Eksekutif Persatuan Renang Brunei Darussalam selaku Ketua Pegawai Teknikal.

Majlis turut menyaksikan persembahan lagu-lagu empat daerah oleh empat orang artis tempatan Negara Brunei Darussalam, diteruskan dengan persembahan khas yang membawa aspirasi dan imej negara ke persada antarabangsa menerusi lagu tema Tahun Melawat Brunei 2027, The Abode of Peace serta lagu tema Sukan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bertajuk Bersama Mengejar Kegemilangan.

Kejohanan SKBD edisi kali ini mempertandingkan sebanyak 10 acara sukan, iaitu Akuatik, Badminton, Bola Jaring, Bola Sepak, Futsal, Karate, Olahraga, Pencak Silat, Sepak Takraw dan Tarik Kalat dengan jumlah terkini penglibatan atlet seramai 1,077 orang.

SKBD merupakan kejohanan peringkat kebangsaan yang bertujuan untuk membina serta memajukan tahap dan prestasi ahli-ahli sukan di Negara Brunei Darussalam secara berkontinjen. Ia diharapkan dapat membentuk golongan ahli sukan yang berwibawa, membina semangat persaingan yang sihat dan mesra serta memupuk kerjasama dalam pembangunan sukan dan perkembangan bakat atlet ke arah kecemerlangan sukan negara.

Antara tujuan utama SKBD diadakan adalah untuk mewujudkan hubungan kerjasama yang akrab dalam membina pembangunan insan ke arah pembangunan sejagat di samping membina rangkaian keharmonian melalui satu gagasan sukan bagi menjana evolusi baharu dalam usaha membentuk sebuah negara yang harmoni dan bersatu.

SKBD juga menjadi salah satu platform utama untuk memilih ahli sukan yang berkelayakan bagi mewakili negara di peringkat serantau dan antarabangsa.

Sukan merupakan wadah penting yang bukan sahaja membudayakan gaya hidup sihat, malah selaras dengan usaha kerajaan dalam memastikan rakyat sentiasa sihat, produktif, berdisiplin dan berdikari yang menjadi teras kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara menuju masa hadapan.

Maklumat lanjut mengenai SKBD Ke-V, Tahun 2026 boleh didapati di pautan laman sesawang: https://www.belia-sukan.gov.bn/skbd/ atau Instagram @officialskbd.bn.