gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Majlis Pelancaran Style District 2026

 

Sumber : Siaran Media PPB_KKBS
Foto : Muhd Azinuddin – KKBS

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 Rabiulakhir 1448/28 September 2026 – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Pusat Pembangunan Belia dengan kerjasama Aewon Garment Sendirian Berhad menganjurkan Style District 2026, iaitu sebuah platform kreatif yang menghubungkan usahawan belia dalam bidang fesyen dan tekstil bersama pakar industri serta komuniti kreatif. Pameran diadakan selama tiga hari bermula pada 28 hingga 30 September 2026 di Mawaddah Hall 1, Tingkat 7, Setia Point, mulai pukul 11.00 pagi hingga 9.00 malam.

Majlis Pelancaran Style District 2026 telah disempurnakan oleh Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Projek keusahawanan ini diadakan bersempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali ke-21, 2026 dengan memberi fokus peralihan daripada pembelajaran dalam bengkel latihan kepada pengalaman perniagaan sebenar. Melalui platform ini, pelatih pusat mahupun graduan dan alumni dalam bidang Fashion Design Technology diberi ruang untuk menguji idea, membangun produk, membina portfolio, meningkatkan jualan serta berhubung langsung dengan pakar dalam industri serta orang awam.

Style District 2026 merupakan sebuah platform yang sangat penting kerana kemahiran teknikal sahaja belum memadai tanpa pendedahan secara langsung ke ruang perniagaan sebenar. Melalui platform ini, para usahawan belia dalam bidang ekonomi kreatif akan dapat mengembangkan cetusan idea daripada bengkel latihan kepada pembinaan produk yang mempunyai nilai komersial, dan seterusnya membantu para belia meningkatkan keupayaan diri daripada “I made this” kepada “I build this brand”.

Acara selama tiga hari ini juga mengetengahkan bidang Fashion Design Technology dengan menggabungkan marketplace, pameran fesyen, bengkel kemahiran kreatif serta membina jaringan perniagaan antara pempamer dan orang awam.

Seramai 11 pempamer usahawan belia yang terdiri daripada alumni Pusat Pembangunan Belia termasuk mahasiswa Universiti Teknologi Brunei terlibat dalam pameran fesyen, iaitu Cerita Fabrikku, Mes Mannequin by Hamizah Efendy, Heritage Crafts by Zoha, Adinah’s Couture, Butik Zulaishah, Perusahaan Mazroni dan Rakan-rakan, Gentleman Stitch Enterprise, Tapih Rancung Company, Aewon Garment Sendirian Berhad serta para usahawan belia lainnya termasuk jenama baharu (home-based), usahawan mikro, kecil dan sederhana (MSME) untuk mempamerkan produk serta idea inovatif mereka.

Antara kategori jualan yang ditawarkan termasuk makanan dan minuman, produk seni kreatif, aksesori, pakaian serta pelbagai produk gaya hidup. Inisiatif ini diharap mampu mempromosi jenama tempatan dan membuka peluang kolaborasi antara komuniti kreatif, industri dan usahawan belia di negara ini.

Selain pameran fesyen, Style District 2026 juga menganjurkan bengkel kemahiran kreatif bagi penglibatan orang ramai. Melalui penganjuran bengkel ini, orang ramai akan diberi pendedahan kepada konsep kemahiran “learn, make and earn” agar mereka memperoleh kemahiran baharu di samping menghasilkan produk atau perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah, dan meneroka potensi sumber pendapatan.

Kerjasama pusat ini bersama rakan strategik Aewon Garment Sendirian Berhad yang sudah terjalin sejak tahun 2019, termasuk pembinaan PPB-Aewon Incubation Centre telah memberi pendedahan kepada usahawan belia dalam aspek pengeluaran, konsultasi produk dan pembangunan produk. Pada tahun ini, Pusat Pembangunan Belia akan meneruskan kerjasama bersama Aewon Garment Sendirian Berhad melalui sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperluaskan sokongan dalam bidang fesyen dan tekstil kepada para pelatih Pusat Pembangunan Belia khasnya dan belia di Negara Brunei Darussalam amnya.

Melalui sokongan para pengunjung, platform keusahawanan belia yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Pusat Pembangunan Belia akan terus berperanan sebagai inisiatif strategik dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta pembangunan usahawan belia di Negara Brunei Darussalam.