gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Majlis Pelancaran Pesta Buku 2026

 

Sumber : Siaran Akhbar DBP

Foto : Mohd Nazib – DBP, Muhd Azinuddin – KKBS,

 

 

BERAKAS, Sabtu, 25 Muharam 1448 / 11 Julai 2026 – Dalam usaha untuk meningkatkan penglibatan masyarakat menjayakan budaya ilmu dan membaca, serta membina apresiasi terhadap karya seni dan penulisan buku, Dewan Bahasa dan Pustaka secara konsisten menganjurkan Pesta Buku Brunei setiap tahun. Pesta Buku Brunei 2026 diadakan selama 11 hari, bermula 25 Muharam hingga 6 Safar 1448 bersamaan 11 hingga 21 Julai 2026 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. Majis Perasmiannya berlangsung pagi tadi.

Hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya merasmikan Pesta Buku Brunei 2026 ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Majlis turut menyaksikan pelancaran lapan buah buku terbaharu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hadir sama, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, wakil-wakil perwakilan diplomatik asing, ketua-ketua jabatan, para penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, mantan pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, rakan korporat, ketua persatuan pertubuhan bukan kerajaan, para pensyarah, penulis buku terbaharu, penerima Hadiah Buku Terlaris, para pegawai dan kakitangan kerajaan.

Antara pengisian semasa Majlis Perasmian ialah penyampaian Hadiah Buku Terlaris 2025, iaitu sebagai usaha Dewan Bahasa Pustaka untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada buku yang dihasilkan oleh penulis tanah air, sama ada yang diterbitkan oleh penerbit kerajaan, swasta mahupun orang perseorangan. Pengiktirafan ini dinilai daripada penulisan dan kebolehpasarannya. Hadiah Buku Terlaris bagi tahun 2025 dianugerahkan kepada tiga kategori buku, iaitu kategori ilmiah, sastera dan kanak-kanak.

Hadiah Buku Terlaris 2025 bagi kategori ilmiah diberikan kepada buku bertajuk Adab-adab dalam Islam, ditulis oleh Pegawai-pegawai Ilmu Jabatan Mufti Kerajaan dan diterbitkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan. Manakala bagi kategori sastera diberikan kepada buku Kompilasi Pantun Mencetus Ilham, Nukilan Kalbu karya Idlan Adley, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kategori kanak-kanak pula diberikan kepada buku bertajuk Real Ghost Stories of Borneo 7 nukilan Dr. Aammton Alias, terbitan M Content Creations.

Dengan adanya penghargaan Hadiah Buku Terlaris ini dihasrat akan menggalakkan perkembangan penulisan, meningkatkan pertumbuhan industri perbukuan yang lebih kompetitif, meningkatkan kualiti penulisan dan penerbitan, menggalakkan penulis untuk mempromosi dan menjual buku masing-masing sekali gus mendukung dan memperkasa budaya membaca di negara ini.

Terdahulu, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Yang Mulia Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka selaku Pengerusi. Majlis Perasmian Pesta Buku Brunei 2026 juga diserikan dengan persembahan sketsa Jidar Al Jannah oleh Akademi Panggung Seri Utama.

Pesta Buku Brunei merupakan acara tahunan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sebagai usaha untuk memupuk budaya membaca dan memperkaya ilmu dalam kalangan masyarakat. Pesta Buku Brunei tahun ini membawa tema “Brunei Membaca: Masyarakat Intelek” yang menekankan kepentingan membaca sebagai asas pembentukan masyarakat yang berilmu, berfikiran kritis dan berdaya saing. Dalam era ledakan maklumat, budaya membaca membantu masyarakat menilai dan menapis maklumat secara bijaksana, di samping memupuk pembelajaran sepanjang hayat serta penghargaan terhadap buku sebagai wadah ilmu yang bernilai. Pembudayaan membaca yang berterusan diyakini mampu melahirkan masyarakat intelek yang berpengetahuan, berakhlak mulia dan berpandangan jauh, sekali gus menjadi pemangkin kepada kemajuan negara yang progresif, berwawasan dan berteraskan ilmu.

Objektif penganjurannya adalah untuk memasyarakatkan budaya membaca dan membina apresiasi terhadap karya seni serta penulisan buku; mengukuhkan pemahaman dan penghayatan masyarakat terhadap budaya Brunei, bahasa dan sastera Melayu serta tulisan Jawi; menonjolkan identiti dan karya penulis buku, penggiat seni tempatan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Di samping bertujuan untuk menjalinkan kerjasama dan hubungan perniagaan serantau dan antarabangsa bagi mengembangkan industri penerbitan buku Brunei.

Pesta Buku Brunei kali ini menampilkan 35 pempamer dari dalam dan luar negara yang menawarkan jualan buku dengan potongan harga istimewa. Selain itu, pelbagai kegiatan dan aktiviti menarik bagi setiap peringkat umur turut disediakan.

Pesta Buku Brunei 2026 dibukakan bagi kunjungan orang ramai setiap hari bermula 11 hingga 21 Julai 2026, pukul 8.30 pagi hingga 9.30 malam, kecuali 15 Julai 2026 dari pukul 2.00 petang hingga 9.30 malam, dan hari Jumaat pada pukul 8.30 pagi hingga 11.30 pagi dan 2.30 petang hingga 9.30 malam.