Sumber : Siaran Media KKBS
Foto : Muhd Azinuddin – KKBS
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 07 Rabiulawal 1448/20 Ogos 2026 – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan Majlis Dikir di Masjid Jubli Perak, Jangsak sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Jabatan Belia dan Sukan.
Hadir selaku ketua rombongan bagi majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Atur cara majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah dan majlis dikir maulud dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Yang Mulia Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis diteruskan dengan Dikir Assalamualaika diketuai oleh Yang Mulia Haji Rajeh bin Haji Muntol, Bilal Tingkat II, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Dikir Asyarakal dan Dikir Khairuman oleh Rombongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan.
Majlis diakhiri dengan Sembahyang Fardu Isyak berjemaah dan diikuti Dikir Marhaban. Doa Dikir dibacakan oleh Yang Mulia Awang Sahlan bin Rosalan, Ahli Jawatankuasa Masjid Jubli Perak, Kampung Jangsak dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awangku Haji Md Zullfadhli bin Pengiran Haji Zahri, Imam Masjid Jubli Perak, Jangsak.
Turut hadir ialah Pengarah-Pengarah Bahagian dan Jabatan, Pegawai dan Kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis ini merupakan salah satu acara keagamaan tahunan anjuran KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya, yang juga merupakan kesinambungan daripada Majlis Dikir yang telah diadakan pada 15 Ogos 2026. Ia bermatlamat untuk menyemarakkan lagi Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, di samping menyuntik rasa kecintaan terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan KKBS.




