Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
DIALOG TELUK BRUNEI KE-12 :
WADAH MEMPERKUKUH JARINGAN KESUSASTERAAN SERANTAU
Sumber : Siaran Media Sekretariat Dialog Teluk Brunei ke-12, 2026
Foto : DBP
BERAKAS, Jumaat, 23 Rabiulawal 1448 bersamaan 4 September 2026 – Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kumpulan Putra Seni (KPS) menganjurkan Dialog Teluk Brunei Ke-12, 2026 selama dua hari, Jumaat – Sabtu, 23 – 24 Rabiulawal/4 hingga 5 September 2026, bertempat di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas.
Dialog Teluk Ke-12 mengetengahkan tema “Merentas Akar dan Sempadan: Kesusasteraan, Identiti dan Realiti Sosial Teluk Brunei”, yang menjadi wadah pertemuan penggiat bahasa, sastera dan budaya dalam memperkukuh hubungan serta jaringan kesusasteraan serantau, khususnya dalam kalangan negara dan wilayah di sekitar Teluk Brunei.
Majlis pembukaan rasmi Dialog Teluk Brunei Ke-12 diadakan pada hari Jumaat, 23 Rabiulawal 1448/4 September 2026. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Sementara itu, Majlis Penutupan/Penangguhan Dialog Teluk Ke-12 diadakan pada Sabtu, 5 September 2026 dan akan dihadiri oleh Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Tetamu Kehormat Majlis.
Sepanjang dua hari penganjurannya, Dialog Teluk Brunei Ke-12 mengetengahkan tiga sesi pembentangan kertas kerja dan sesi soal jawab yang melibatkan pembentang dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Negara Brunei Darussalam. Majlis penutup turut diserikan dengan pendeklamasian sajak dan persembahan budaya.
Dialog Teluk merupakan kegiatan kesusasteraan serantau yang mula dilaksanakan di Labuan pada tahun 1987 dan dikelolakan oleh PERWILA. Penganjurannya kemudiannya diteruskan di Bandar Seri Begawan pada tahun 1988; Limbang (1990); Kota Kinabalu (1997); Sipitang (2001); Wilayah Persekutuan Labuan (2008); Miri (2010); Bandar Seri Begawan (2012); Membakut (2014); Lawas (2017); dan Miri (2024). Penganjuran Dialog Teluk pernah tertangguh berikutan pandemik COVID-19 sebelum diteruskan semula dan kini kembali diadakan di Bandar Seri Begawan pada tahun 2026.
Dialog Teluk Brunei menghimpunkan penggiat bahasa, sastera dan budaya dari kawasan pesisiran Pulau Borneo, antaranya Miri, Bandar Seri Begawan, Limbang, Lawas, Labuan, Sipitang, Kuala Penyu, Membakut dan Kota Kinabalu.
Dialog ini turut melibatkan penyertaan dan kerjasama persatuan serta kumpulan penggiat bahasa, sastera dan budaya, antaranya Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) dari Negara Brunei Darussalam, Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Ikatan Penulis Sabah (IPS), Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) dan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PUTERA), selain turut mengundang Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).
Penganjuran Dialog Teluk dari semasa ke semasa telah berjaya mengakrabkan hubungan dalam kalangan penulis, sarjana, budayawan dan penggiat sastera di wilayah Teluk Brunei. Pertemuan ini juga berperanan sebagai wahana pertukaran pemikiran, pengalaman dan pengetahuan, selain menyumbang kepada perkembangan persuratan serta mengetengahkan bakat penulis muda yang berpotensi.
Dalam rangka penganjuran Dialog Teluk Ke-12, satu mesyuarat turut diadakan bagi membincangkan dan menentukan persatuan atau negeri yang akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran Dialog Teluk seterusnya.
Penganjuran Dialog Teluk Ke-12 dihasratkan dapat meneruskan kesinambungan hubungan kesusasteraan dan kebudayaan yang telah terjalin sejak hampir empat dekad, di samping memperkukuh jaringan kerjasama antara penggiat bahasa, sastera dan budaya di rantau ini.
