Berita : Nurdiyanah Rajami
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 24 Ogos. – Keindahan alunan selawat dan puji-pujian ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam terus bergema menerusi Majlis Bercorak Keagamaan sempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam 1448 Hijrah 2026 Masihi bagi malam ke-12 diteruskan malam ini di Surau Istana Nurul Iman, bersama pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Juga hadir ialah Setiausaha Tetap KKBS, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Dr. Siti Norkhalbi Haji Wahsalfelah; dan Timbalan Setiausaha Tetap, KKBS, Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid.
Sejurus selesai menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Sayyidul Istighfar serta bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Setelah itu, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhamad Abdul Haziq bin Hanafi dalam tazkirahnya yang bertajuk ‘Menyemai Cinta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui Tiga Kunci Keberkatan Hidup’ antara lain menerangkan mengenai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak sekadar mengajar kita meminta ilmu. Baginda mengajar kita meminta ilmu yang bermanfaat.
Jelasnya, ini kerana tidak semua ilmu semestinya membawa seseorang dekat kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membuatkan kita lebih mengenal Allah Subhanahu Wata’ala, lebih takut kepada Allah Subhanahu Wata’ala, lebih merendahkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan akhirnya mendorong kita untuk beramal.
“Perkara kedua yang Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam minta ialah rezeki yang baik. Perhatikan, Baginda tidak meminta ‘Ya Allah, berikan aku rezeki yang banyak’ tetapi Baginda meminta ‘Berikan aku rezeki yang baik’. Ini sangat penting kerana rezeki bukan sekadar tentang berapa banyak yang kita dapat, tetapi dari mana ia datang dan ke mana ia membawa kita,” tambahnya.
Awang Muhamad Abdul Haziq turut menjelaskan bahawa perkara ketiga yang diminta oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah amalan yang diterima. Ini mungkin bahagian yang paling membuatkan kita berfikir. Sebab kadang-kadang kita berasa, “Aku sudah banyak beramal”, tetapi persoalannya bukan semata-mata berapa banyak amalan kita. Persoalannya, adakah amalan kita diterima oleh Allah? Maknanya, jangan kita hanya mengejar banyaknya amalan. Kita perlu mengejar keikhlasan dan memastikan amalan kita dilakukan dengan cara yang benar.
Dalam pada itu, tazkirah turut menekankan apabila membaca kita doa, jangan sekadar membaca. namun kita perlu memikirkan tiga perkara iaitu “Ya Allah, berikan aku ilmu yang bermanfaat”, supaya apa yang kita belajar mengubah diri kita; “Ya Allah, berikan aku rezeki yang baik”, supaya apa yang kita makan, apa yang kita gunakan dan apa yang kita berikan kepada keluarga kita datang dari sumber yang halal; dan “Ya Allah, terimalah amalanku”, kerana kita tidak tahu apakah amalan kita benar-benar diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala.
