gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Acara Riadahmas Sempena Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2026

 

Sumber : Siaran Media JAPEM
Foto : Md Azinuddin – KKBS

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 RABIULAKHIR 1448 / 11 OKTOBER 2026- Sempena Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2026, Pertubuhan WARGAMAS dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Institut Sains Kesihatan, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan OMNI Sports International telah menganjurkan Acara Riadahmas bertempat di Tempat Letak Kereta VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Penganjuran Riadahmas ini bertujuan mempromosikan konsep Penuaan Berjaya (Successful Ageing) dengan menggalakkan warga emas kekal aktif, sihat dan produktif dalam masyarakat.

Seramai lebih kurang 200 orang peserta telah hadir, terdiri daripada ahli Pertubuhan WARGAMAS, ahli Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) seluruh daerah, Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta rakan-rakan strategik.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Datin.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh YM Haji Ali Hassan bin Haji Ahmad, Ketua Biro Keugamaan, Pertubuhan WARGAMAS, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh YM Awang Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don, Yang Dipertua Pertubuhan WARGAMAS.

Atur cara diteruskan dengan persembahan demonstrasi Silat oleh Kumpulan Persembahan Pertubuhan WARGAMAS yang di ketuai oleh YM Pengiran Haji Mohd Yusof bin Pengiran Haji Mohd Daud, Guru Silat. Seterusnya, sesi senaman ringan beramai-ramai bagi pemanasan badan telah diadakan dan diketuai oleh YM Dr Sharimawati binti Haji Sharbini, Penolong Profesor Kanan, Institut Sains Kesihatan, Universiti Brunei Darussalam.

Kemuncak acara ialah Pelancaran Riadahmas oleh Tetamu Kehormat, diikuti dengan Pertandingan telematch yang di anjurkan oleh OMNI Sports International International. Pertandingan tersebut berlangsung dalam suasana meriah dengan penglibatan aktif warga emas. 11 Oktober 2026 2 Para pemenang menerima hadiah yang disampaikan oleh Tetamu Kehormat sebagai tanda penghargaan.

Sebelum bersurai, Yang Dipertua Pertubuhan WARGAMAS menyampaikan cenderahati kepada Tetamu Kehormat dan seterusnya mempelawa beliau melawat ruang jualan Pertubuhan WARGAMAS.

Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, pegawai-pegawai kanan KKBS, persatuan-persatuan serta rakan strategik yang sentiasa menyokong usaha JAPEM dan Pertubuhan WARGAMAS dalam memperkasa kesejahteraan warga emas.