gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Program Interaktif Voices of Children – Mission H.E.L.P (Help, Empower, Listen, Protect)

 

Sumber : Siaran Media JAPEM

Foto : Muhd Azinuddin – KKBS

 

 

TEMBURONG, ISNIN, 23 NOVEMBER 2026 – Seramai 76 orang pelajar dan pelatih tahun 7 hingga 10 dari Sekolah Menengah Jamalul Alam (SMJA), Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), Ma’had Islam Brunei, Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Menengah Chung Hwa, Sekolah St Andrews, Sekolah St George dan Pusat Bahagia Brunei Muara dan Temburong telah menyertai Program Interaktif Voices of Children – Mission H.E.L.P (Help, Empower, Listen, Protect). Program ini dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Persatuan Kaunseling Brunei Darussalam (PERKAB) sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2026 yang berlangsung di Dewan Kuliah, Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Temburong.

Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Haji Nuurmatiin Bin Haji Abu Bakar, Ketua Guru Ugama, Pusat Bahagia Brunei Muara, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah, Jabatan Pembangunan Masyarakat, selaku Pengerusi Majlis. Dalam ucapan tersebut, beliau menekankan bahawa Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2026 merupakan platform penting dalam mengiktiraf hak dan kesejahteraan kanak-kanak selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC). Beliau turut menjelaskan bahawa tema tahun ini, “My Day, My Rights, My Future”, memberi tumpuan kepada usaha memperkasa kanak-kanak melalui peningkatan kesedaran mengenai hak, perlindungan, serta saluran bantuan dan perkhidmatan sokongan yang tersedia. Selain itu, beliau turut mengongsikan pelaksanaan Program Interaktif Voices of Children: Mission H.E.L.P. yang bertujuan membina keyakinan kanak-kanak untuk mendapatkan bantuan apabila diperlukan, serta menyentuh mengenai pelancaran logo baharu Talian ANAK 121 “Kami Prihatin” sebagai simbol komitmen berterusan dalam memperkukuh perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak di Negara Brunei Darussalam.

Acara kemudiannya diteruskan dengan pelancaran logo baharu Talian ANAK 121 ”Kami Prihatin” yang telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat. Logo baharu tersebut yang dihasilkan bersama oleh JAPEM, KKBS dan Syarikat Imagine Sdn Bhd adalah diharapkan untuk lebih mudah dikenali dan diingati sekaligus mengalakkan lebih ramai kanak-kanak untuk tampil mendapatkan bantuan apabila diperlukan.

Para peserta kemudiannya mengikuti sesi perkongsian bertajuk “Wellbeing for All” yang disampaikan oleh Persatuan Kaunseling Brunei Darussalam (PERKAB). Sesi ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesejahteraan mental, emosi dan sosial serta memperkenalkan strategi positif bagi membina daya tahan diri, mengurus emosi secara sihat dan memperkukuh hubungan sosial dalam kehidupan seharian.

Acara diteruskan dengan sesi ice breaking yang dikendalikan oleh PERKAB, diikuti dengan pembahagian kumpulan, taklimat program dan pengagihan Kad Misi kepada para peserta sebagai persediaan menyertai aktiviti utama Mission H.E.L.P.

Aktiviti Mission H.E.L.P memberi peluang kepada para peserta untuk mengunjungi lapan (8) stesen aktiviti yang dikendalikan oleh agensi-agensi berkepentingan, iaitu Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Persatuan Kaunseling Brunei Darussalam (PERKAB), Authority for Info-communications Technology Industry of Brunei Darussalam (AITI) dan Cyber Security Brunei (CSB). Melalui stesen-stesen tersebut, para peserta diberikan peluang untuk mengenali talian bantuan serta perkhidmatan sokongan yang tersedia di negara ini, memahami fungsi dan peranan setiap agensi dan tatacara mendapatkan bantuan mengikut keperluan masing-masing.

Dapatan dan maklumbalas yang diperoleh daripada aktiviti-aktiviti tersebut telah dirumuskan oleh Yang Mulia Mejar (B) Rusli bin Bujang, Presiden Persatuan Kaunseling Brunei Darussalam (PERKAB) selaku rakan strategik program seperti berikut:

    • Analisis awal melibatkan 56 daripada 74 orang peserta, mewakili kadar liputan tinjauan sebanyak 75.7%. Dapatan menunjukkan bahawa tekanan akademik merupakan faktor utama yang mempengaruhi kesejahteraan kanak-kanak, manakala aspek yang paling dihargai oleh mereka ialah peluang latihan dan pembangunan kemahiran, di samping persekitaran yang selamat, bimbingan yang berterusan dan akses kepada sumber pembelajaran. Kajian turut mendapati bahawa majoriti responden menekankan kepentingan penglibatan orang dewasa yang menghormati pandangan kanak-kanak serta memberi ruang kepada mereka untuk didengari. Secara keseluruhannya, program ini memberikan peringatan kepada agensi yang berkepentingan untuk bukan sahaja mendengar, akan tetapi untuk membuat perubahan mengikut keperluan kanak-kanak (child-centred approach) dan membina generasi yang berwawasan.

Program diakhiri dengan pengumuman dan penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Yang Mulia Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah, Jabatan Pembangunan Masyarakat. Penyampaian hadiah tersebut merangkumi kategori Kumpulan Terbaik, Pemenang Stesen Terbaik dan Kreatif, serta penyampaian cenderamata kepada rakan strategik dan agensi-agensi yang terlibat sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, ketua-ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, serta rakan-rakan strategik KKBS dan Yang Mulia Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah, Jabatan Pembangunan Masyarakat, selaku Pengerusi Majlis.