gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Sidang Media SKBD Ke-V, Tahun 2026

 

Sumber : Siaran Media KKBS
Foto : Md Adi Muadz – JBS

 

 

BERAKAS, Khamis, 25 Jamadilawal 1448 / 5 November 2026 – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam akan menganjurkan Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Ke-V, Tahun 2026 mulai 7 hingga 14 November 2026.

Sidang Media mengenai persediaan SKBD Ke-V, Tahun 2026 telah diadakan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada sebelah petang.

Sidang Media ini dipengerusikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, iaitu Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja SKBD Ke-V, Tahun 2026 selaku Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Pengerusi telah mengongsikan maklumat mengenai penganjuran acara SKBD Ke-V, Tahun 2026.

Turut hadir, Yang Mulia Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, Pengarah Belia dan Sukan selaku Setiausaha Bersama; Yang Mulia Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh, Pemangku Timbalan Pengetua Pusat Sejarah Brunei selaku Timbalan Setiausaha Bersama; dan Yang Mulia Awang Haji Mohd Zaki bin Haji Hassanol As’shari, Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan selaku Ketua Bersama Jawatankuasa Promosi, Penyiaran dan Komunikasi.

SKBD merupakan kejohanan peringkat kebangsaan yang dianjurkan sebagai wadah bagi menghimpunkan atlet dari seluruh negara untuk bersaing dalam pelbagai acara sukan. Sukan ini juga merupakan platform bagi mengenal pasti bakat atlet yang berpotensi terutama dalam kalangan belia sebagai persediaan untuk mewakili negara bagi menyertai kejohanan sukan berprestij di peringkat serantau dan antarabangsa.

Kejohanan ini diharapkan akan dapat membentuk ahli sukan yang berwibawa, selain membina semangat persaingan yang sihat dan mesra, bekerjasama dalam pembangunan sukan dan perkembangan bakat atlet ke arah membentuk kecemerlangan dan kegemilangan sukan di Negara Brunei Darussalam.

Penganjuran SKBD pada tahun ini merupakan kali kelima sejak kejohanan ini diadakan buat julung kalinya pada tahun 2012.

Tema SKBD Ke-V, Tahun 2026 ialah “Bersama Mengejar Kegemilangan”. Tema ini menekankan semangat kebersamaan dalam mencapai kecemerlangan sukan melalui kerjasama, perpaduan dan semangat kesukanan. Kecemerlangan sukan bukan sahaja menjadi kebanggaan bersama, malah berperanan sebagai wadah untuk menyatupadukan masyarakat dan menyumbang kepada pembentukan negara yang harmoni, maju, berdaya saing dan gemilang.

Pada tahun ini, sebanyak tujuh kontinjen menyertai SKBD, iaitu Kontinjen Daerah Brunei dan Muara, Kontinjen Daerah Belait, Kontinjen Daerah Tutong, Kontinjen Daerah Temburong, Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei, dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam.

SKBD kali ini mempertemukan seramai 1,071 orang atlet dengan jumlah keseluruhan pingat yang akan menjadi rebutan sebanyak 536 pingat, iaitu 149 pingat emas, 149 pingat perak dan 238 pingat gangsa.

Sebanyak 10 acara sukan dipertandingkan pada tarikh dan tempat seperti yang berikut:

  1. Akuatik,  6 – 8 November 2026, Kolam Renang Kebangsaan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), Berakas.
  2. Badminton,  9 – 13 November 2026, Kompleks Sukan Tutong.
  3. Bola Jaring , 5 – 12 November 2026, Kompleks Sukan Tutong dan Stadium Tertutup, KSNHB, Berakas.
  4. Bola Sepak, 31 Oktober – 13 November 2026, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas; Padang dan Balapan, KSNHB, Berakas; Kompleks Sukan Berakas; Kompleks Sukan Tutong; dan Kompleks Sukan Temburong.
  5. Futsal, 7 – 13 November 2026, Dewan Serbaguna, KSNHB, Berakas dan Stadium Tertutup, KSNHB, Berakas.
  6. Karate,  9 – 11 November 2026,  Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.
  7. Olahraga, 10 – 12 November 2026, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
  8. Pencak Silat, 7 – 13 November 2026, Dewan Serbaguna, KSNHB, Berakas.
  9. Sepak Takraw, 7 – 13 November 2026, Kompleks Sukan Sungai Kebun.
  10. Tarik Kalat 9 – 10 November 2026, Kompleks Sukan Sungai Kebun.

 

Majlis Pembukaan Rasmi SKBD Ke-V, Tahun 2026 akan berlangsung pada Ahad, 8 November 2026, pukul 4.00 petang di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. Antara pengisian majlis ialah perarakan lalu kontinjen dan ucapan deklarasi pembukaan kejohanan. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Sidang Media diselajurkan dengan penyerahan poster SKBD Ke-V, Tahun 2026 kepada Ketua-ketua Kontinjen, Pegawai Perhubungan Awam Kementerian-kementerian, termasuk jabatan-jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta rakan media.

Orang ramai dialu-alukan untuk hadir menyaksikan Majlis Pembukaan Rasmi serta memberikan sokongan di kesemua perlawanan sukan sepanjang kejohanan ini berlangsung.

Maklumat lanjut mengenai SKBD Ke-V, Tahun 2026 boleh didapati di pautan laman sesawang: https://www.belia-sukan.gov.bn/skbd/ atau Instagram @officialskbd.bn.