gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Majlis Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Penerbitan Majalah Bahana 1966 – 2026

 

Sumber : Siaran Media DBP
Foto : Md Khairul Anwar – DBP

 

 

BERAKAS, Rabu, 24 Jamadilawal 1448/4 November 2026 – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Sastera dan Majalah mengadakan Majlis Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Penerbitan Majalah Bahana 1966 – 2026 bertempat di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas. Majlis ini diadakan bagi meraikan enam dekad penerbitan majalah Bahana sebagai salah sebuah wadah penting dalam perkembangan kesusasteraan Melayu di Negara Brunei Darussalam.

Dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, majalah Bahana merentasi enam darsawarsa sebagai “Wadah Hati Nurani Penulis Kreatif” yang menyimpan warisan, menyemai pemikiran dan menyuluh arah penulisan generasi akan datang dalam menjaring kesinambungan dunia kesusasteraan Melayu Brunei. Menurut beliau lagi, sambutan ini merupakan simbol kejayaan majalah Bahana yang kekal mempunyai pengaruh tersendiri sehingga ke hari ini, serta sebagai wadah penghormatan buat para karyawan, editor, pelukis dan penulis yang konsisten menyumbangkan karya bermutu sejak 60 tahun yang lalu.

Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, sekali gus melancarkan Majlis Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Penerbitan Majalah Bahana 1966 – 2026, dan dua bahan terbitan khas Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu Edisi Khas Majalah Bahana: Enam Dekad Suara Sastera; dan Jejak Rasa Bahana. Pelancaran kedua-dua bahan terbitan ini merupakan antara usaha Dewan Bahasa dan Pustaka dalam mendokumentasikan, menghargai dan memperkenalkan kembali khazanah kesusasteraan yang telah diterbitkan melalui majalah Bahana, di samping memperkukuh peranannya sebagai wadah pengembangan bakat, pemikiran dan kreativiti penulis daripada pelbagai generasi.

Majlis turut diserikan dengan persembahan menambang syair dan tayangan video yang memaparkan perjalanan majalah Bahana selama enam dekad, diikuti dengan Ristaan Pelopor Majalah Bahana yang disampaikan oleh Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mahmud bin Haji Bakir; dan Wacana Sastera bersama Penulis Bahana yang menampilkan dua orang tokoh penulis, iaitu Yang Mulia Dr. Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid dan Yang Mulia Profesor Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah. Wacana ini dipengerusikan oleh Yang Mulia Dr. Haji Mohd Ali bin Haji Radin, Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tetamu kehormat seterusnya menyampaikan hadiah, cenderamata dan sijil kepada 12 pemenang dan 10 hakim Peraduan Penulisan Kreatif Bahana DBP 2026 bagi genre Cerpen, Pantun, Sajak dan Syair; pembicara Ristaan Pelopor Majalah Bahana; serta pembicara dan moderator Wacana Sastera Bersama Penulis Bahana.

Bersempena dengan sambutan tersebut, turut diadakan Gala Aspirasi Seni pada 24 – 25 Jamadilawal 1448/4 – 5 November 2026 sebagai salah satu pengisian utama Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Penerbitan Majalah Bahana 1966 – 2026. Kegiatan ini merangkumi Jejak Bahana, Forum Sastera: Suara Tiga Generasi dan Gema Bahana yang bertujuan menyemarakkan apresiasi kesusasteraan, memperkukuh hubungan antara generasi penulis serta mendekatkan masyarakat dengan sejarah dan perkembangan majalah Bahana.

Jejak Bahana diadakan pada sebelah petang, 24 Jamadilawal 1448/ 4 November 2026 dengan mengetengahkan aktiviti interaktif secara berkumpulan yang menguji pengetahuan, daya ingatan dan kerjasama peserta melalui penjelajahan berpandukan petunjuk. Kegiatan ini memberikan peluang kepada peserta untuk mengenali sejarah penerbitan, tokoh penulis dan perkembangan majalah Bahana melalui pendekatan pembelajaran yang santai dan menyeronokkan. Kegiatan ini turut disusuli dengan penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para peserta.

Sementara itu, Forum Sastera: Suara Tiga Generasi yang bertemakan “Sastera Merentas Zaman: Wacana Cerminan Bangsa” diadakan pada hari Khamis, 25 Jamadilawal 1448/5 November 2026. Tetamu Khas ialah Yang Mulia Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, Pemangku Timbalan Pengarah DBP. Forum ini akan menghimpunkan sembilan orang panel yang mewakili tiga generasi penulis, iaitu generasi perintis, pertengahan dan pelapis, bagi berkongsi pengalaman, pandangan serta pemikiran mengenai perkembangan kesusasteraan dan peranan majalah Bahana dalam dunia penulisan tanah air.

Gema Bahana pula dijadualkan berlangsung pada hari yang sama, bermula pada pukul 2.00 petang dengan menampilkan pelbagai persembahan kesenian dan kesusasteraan, antaranya persembahan teater oleh Kumpulan PUTRA Seni, persembahan syair oleh Hidop Zin, persembahan diangdangan oleh Narudin HA serta deklamasi sajak dan nyanyian puisi oleh penggiat seni. Keseluruhan kegiatan Gala Aspirasi Seni ini diharap dapat memperluas penglibatan masyarakat, khususnya generasi muda, dalam kegiatan kesusasteraan, di samping memastikan legasi majalah Bahana terus dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Penerbitan Majalah Bahana 1966 – 2026 bukan sahaja menjadi ruang untuk mengenang sejarah dan pencapaian penerbitannya, bahkan memperlihatkan komitmen Dewan Bahasa dan Pustaka dalam memastikan kesinambungan majalah ini sebagai wadah pengembangan kesusasteraan Melayu.