Sub Heading
Pembukaan Sambutan Hari Keluarga PKWE DBM
Sumber : Pelita Brunei
Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
LAMBAK KANAN, Rabu, 28 Oktober. – Dalam usaha mengeratkan silaturahim serta memperkukuh hubungan antara warga emas, Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Brunei dan Muara (DBM) mengadakan Majlis Pembukaan Sambutan Hari Keluarga PKWE DBM Kali Ke-5 di Dewan Kemasyarakatan 2, Jalan 77, Lambak Kanan.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid, selaku tetamu kehormat dalam ucapan alu-aluannya menekankan kepentingan memastikan golongan warga emas sentiasa dihargai, diberikan ruang untuk melibatkan diri secara aktif serta terus memainkan peranan penting dalam masyarakat.
Menurut beliau, PKWE berperanan sebagai wadah yang menyediakan ruang kepada warga emas untuk bertemu, berinteraksi dan menyertai pelbagai aktiviti yang bermanfaat, di samping membina persahabatan serta hubungan sosial yang bermakna.
“Melalui aktiviti seumpama ini, para warga emas berpeluang untuk terus aktif, berkongsi minat dan pengalaman serta mengeratkan hubungan bersama ahli. Lebih daripada itu, PKWE juga menjadi wadah yang menghubungkan warga emas dengan keluarga dan masyarakat.
“Inilah antara usaha penting dalam memastikan para warga emas tidak berasa tersisih, sebaliknya terus menjadi sebahagian daripada kehidupan bermasyarakat,” jelas beliau.
