gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Upacara Selamat Belayar Bagi Kontinjen Ke Sukan Belia Olimpik Ke-4, 2026

 

Sumber : Siaran Media JBS
Foto : Md Adi Muadz – JBS

 

BERAKAS, Selasa, 15 Jamadilawal 1448 / 27 Oktober 2026. – Seramai enam orang ahli Kontinjen Negara Brunei Darussalam telah berlepas pagi tadi bagi menyertai Sukan Belia Olimpik Ke-4 2026 yang akan berlangsung di Dakar, Senegal pada 31 Oktober hingga 13 November 2026. Kontinjen negara tersebut terdiri daripada dua orang atlet, dua orang jurulatih serta dua orang pegawai kontinjen termasuk Chef de Mission dan Ketua Urus Setia.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar, seterusnya menyampaikan ucapan nasihat dan kata-kata motivasi kepada kontinjen ialah Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir ialah Yang Mulia Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, Pengarah Belia dan Sukan serta pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan serta ahli keluarga atlet.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan nasihat serta kata-kata motivasi kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

Kontinjen Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Yang Mulia Pengiran Siti Amal Jariah binti Pengiran Haji Matjinen selaku Chef de Mission. Pada kejohanan kali ini, negara akan diwakili dalam tiga jenis sukan iaitu:

  1. Renang – Diwakili oleh seorang atlet lelaki bagi acara 200m Kuak Lentang Lelaki yang akan mula bertanding pada 1 hingga 6 November 2026 bertempat di Dakar Aquatic Centre (CTO).
  2. Wushu – Diwakili oleh seorang atlet wanita bagi acara TaijiQuan dan TaijiJian Wanita yang akan mula bertanding dari 1 hingga 3 November 2026 di Pavilion Dakar Expo Center (DEX).
  3. Olahraga – Diwakili oleh seorang atlet lelaki bagi acara 200m Lelaki yang akan mula bertanding dari 8 hingga 10 November 2026 di Iba Mar Diop Stadium (CID). Pasukan Olahraga akan bertolak ke Dakar, Senegal pada 3 November 2026.

Penyertaan ini diharapkan akan dapat memberikan pendedahan di peringkat antarabangsa serta mempertingkatkan pencapaian para atlet muda negara di persada sukan global.