Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Mesyuarat Ke-11 Kluster Sosio-Budaya dan Pendidikan BIMP-EAGA
Sumber : Siaran Media KKBS
Foto : Muhd Azinuddin – KKBS, Md Nasrullah – JMM
Bandar Seri Begawan, Selasa, 19 Rabiulawal 1448 bersamaan 01 September 2026 – Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Ke-11 Kluster Sosio-Budaya dan Pendidikan BIMP-EAGA (11th BIMP-EAGA Socio-Cultural and Education Cluster Meeting) yang berlangsung selama dua hari, mulai 01 hingga 02 September 2026 di Radisson Hotel, di Bandar Seri Begawan.
Mesyuarat tahunan yang diadakan secara hibrid menghimpunkan delegasi daripada negara-negara anggota Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA). Mesyuarat tersebut turut disertai oleh wakil BIMP-EAGA Facilitation Centre (BIMP-EAGA FC) dan Pengerusi BIMP-EAGA Business Council.
Mesyuarat berkenaan menjadi wadah bagi membincangkan perkembangan dan hala tuju kerjasama serantau khususnya dalam bidang sosio-budaya, pendidikan, belia dan sukan serta pembangunan sumber manusia.
Mesyuarat dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Negara Brunei Darussalam selaku tuan rumah yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Siti Hadinawati binti Haji Abdul Majid, Pemangku Pengarah Bahagian Pembangunan Belia dan Sukan; selaku Ketua Kluster Sosio-Budaya dan Pendidikan BIMP-EAGA (Socio-Cultural and Education Cluster) bagi Negara Brunei Darussalam dan seterusnya diserikan dengan tayangan video Tahun Melawat Brunei 2027.
Pada hari pertama, para delegasi mengikuti sesi pleno dan mesyuarat kumpulan kerja yang memberikan tumpuan kepada kemajuan pelaksanaan serta penyertaan negara-negara anggota dalam pelbagai aktiviti, projek dan inisiatif di bawah Kluster Sosio-Budaya dan Pendidikan BIMP-EAGA.
Antara perkara yang dibincangkan ialah projek dan inisiatif di bawah Kumpulan Kerja Pembangunan Sosio-Budaya (Socio-Cultural Development Working Group – SCD WG), Kumpulan Kerja Pembangunan Sumber Manusia (Human Resource Development Working Group – HRD WG) dan Kumpulan Kerja Pembangunan Belia dan Sukan (Youth and Sports Development Working Group – YSD WG). Mesyuarat turut membincangkan inisiatif bersama rakan pembangunan BIMP-EAGA serta pembentangan mengenai BIMP-EAGA Vision 2035 oleh Asian Development Bank.
Mesyuarat diteruskan lagi pada hari kedua dengan pembentangan laporan daripada ketiga-tiga kumpulan kerja serta penerimaan laporan Mesyuarat Ke-11 Kluster Sosio-Budaya dan Pendidikan BIMP-EAGA. Para delegasi turut dijadualkan menyertai lawatan kebudayaan ke Muzium Alat Kebesaran Diraja, Pusat Sejarah Brunei dan IBTE School of Aviation.
Majlis Makan Malam Rasmi juga telah diadakan di Mutiara Ballroom, Radisson Hotel, Bandar Seri Begawan dan diserikan dengan Persembahan Kebudayaan yang mengetengahkan keunikan serta warisan budaya Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam. Majlis Makan Malam Rasmi dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam.
Penganjuran mesyuarat ini mencerminkan komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam terhadap kerjasama serantau. Penglibatan negara menyumbang kepada perkongsian amalan terbaik, pengukuhan persefahaman dalam kalangan masyarakat serantau, serta pembangunan modal insan yang berdaya saing dan berfikiran global selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.
