Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Malaysia XXII, Selangor 2026
Sumber : Siaran Media JBS
Foto : Md Adi Muadz – JBS
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 26 Safar 1448 / 10 Ogos 2026. – Negara Brunei Darussalam akan menyertai Sukan Malaysia XXII yang akan diadakan di Selangor, Malaysia bermula pada 15 hingga 24 Ogos 2026.
Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Malaysia XXII, Selangor 2026 telah diadakan bertempat di Dewan Di-Gadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan hari ini.
Hadir menyempurnakan penyerahan bendera negara tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat.
Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam yang disempurnakan oleh tetamu kehormat kepada Yang Mulia Dayang Noorfairuzah Hani binti Haji Mohamad @ Haji Zaini selaku Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Malaysia XXII, Selangor 2026. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.
Hadir sama ialah Yang Mulia Abdul Munir Lutfi bin Said, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; wakil-wakil Persatuan Sukan Kebangsaan serta ahli keluarga atlet.
Sukan Malaysia atau ringkasnya SUKMA ialah temasya sukan peringkat kebangsaan di Malaysia anjuran Majlis Sukan Negara Malaysia bersama Majlis Sukan Negeri yang diadakan setiap 2 tahun sekali.
Bagi temasya SUKMA Ke-22 Tahun 2026 ini, Kontinjen Negara Brunei Darussalam akan diwakili oleh seramai 84 orang ahli kontinjen, terdiri daripada 53 orang atlet yang akan bersaing dalam 11 acara sukan yang dipertandingkan iaitu Akuatik Renang, Badminton, Olahraga, Catur, Golf, Lawan Pedang, Karate, Pencak Silat, Sepak Takraw, Taekwondo dan Wushu. Manakala barisan pegawai kontinjen seramai 31 orang, terdiri daripada Chef de Mission, Assistant Chef de Mission, Pegawai Urus Setia, Pegawai Perubatan, Pengurus dan Jurulatih.
Penglibatan Negara Brunei Darussalam dalam temasya SUKMA ini adalah sebagai pasukan jemputan dimana pertama kali negara mengikutinya adalah pada tahun 1996 iaitu SUKMA Ke-VI yang berlangsung di Negeri Pahang, Malaysia. Hingga ke hari ini, negara telah berjaya memperolehi 7 pingat emas, 16 pingat perak dan 33 pingat gangsa. Pencapaian terbaik adalah pada tahun 2024 di Kuching, Sarawak dengan memperolehi 2 pingat emas, 2 pingat perak dan 3 pingat gangsa.
Kontinjen negara dijangka bertolak secara berperingkat-peringkat bermula 11 Ogos 2026.