Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan Kepada Mangsa Bencana
Sumber : Siaran Media JAPEM
Foto : Md Aiman Sufyan – JAPEM
Bandar Seri Begawan, Rabu, 27 Rabiulawal 1448 bersamaan 09 September 2026 – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah keseluruhan Lapan Puluh Enam Ribu Tiga Ratus Dollar (BND86,300.00) kepada sembilan puluh enam (96) orang ketua keluarga. Majlis berlangsung di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Daripada jumlah keseluruhan ketua keluarga yang menerima bantuan kewangan hari ini, seramai tujuh puluh lapan (78) ketua keluarga adalah mangsa yang terlibat dalam kejadian banjir, sepuluh (10) ketua keluarga adalah mangsa kebakaran, empat (4) ketua keluarga mangsa kejadian rumah roboh dan tidak selamat didiami dan empat (4) ketua keluarga mangsa kejadian angin kencang yang mengakibatkan kerosakan bumbung rumah. Sementara itu, sebagai sokongan tambahan dua (2) ketua keluarga yang terjejas akibat kejadian kebakaran turut menerima bantuan catuan makanan. Kesemua mangsa dan penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian bencana tersebut dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemberian bantuan kewangan ini bertujuan untuk meringankan beban dan kesusahan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa bencana serta membantu menjaga kebajikan dan kesejahteraan mereka sekeluarga. Usaha ini mencerminkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.
Hadir bagi menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa bencana ialah Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiusaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Turut hadir ialah Yang Mulia Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta pegawai-pegawai dari Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.
