Sumber : Siaran Akhbar JAPEM
Foto : Mohd Aiman Sufyan - JAPEM
Bersempena dengan Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) 2025, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jabatan Pendidikan Khas (JPK), Kementerian Pendidikan, Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), Persatuan Orang Orang Cacat Berkerusi Roda dan Cacat Anggota (PAPDA), Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan An-Nur Harapan telah menganjurkan Majlis Doa Kesyukuran dan Menyintai Al Quran petang tadi yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Majlis Mesyuarat Negara.
Majlis ini diadakan bertujuan untuk menanamkan rasa kecintaan dan minat terhadap Al-Quran dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU). Seramai tiga puluh enam (36) peserta OKU terdiri daripada penuntut-penuntut di sekolah-sekolah menengah dan sekolah-sekolah ugama, pelatih-pelatih Pusat Bahagia di ke-empat-empat daerah, ahli–ahli Pusat Ehsan Al-Ameerah Al Hajjah Maryam, PAPDA dan An-Nur Harapan telah menyertai majlis ini.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis Yang Mulia Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah, Jabatan Pembangunan Masyarakat, selaku pengerusi majlis. Seterusnya, Tetamu Kehormat menyampaikan ucapan yang menekankan kepentingan komitmen masyarakat dalam memperkukuh budaya inklusif selaras dengan tema “Memupuk Masyarakat Berkelainan Upaya yang Inklusif ke arah Kemajuan Sosial", khususnya dalam menyediakan persekitaran mesra-OKU, dasar responsif serta peluang yang saksama bagi golongan OKU. Ucapan tersebut turut menzahirkan penghargaan terhadap potensi OKU sebagai penyumbang kepada pembangunan negara, di samping menegaskan bahawa kecintaan kepada Al-Quran adalah universal dan mampu memperkasa kesejahteraan rohani tanpa mengira keadaan fizikal, intelek atau kemampuan penglihatan. Inisiatif kerajaan seperti pemberian Biasiswa Pengajian Tahfiz kepada OKU di bawah JAPEM, juga menunjukkan sokongan berterusan terhadap penyertaan aktif mereka dalam mengukuhkan syiar Islam dan agenda pembangunan negara. Secara keseluruhannya, majlis ini berperanan sebagai platform untuk memupuk kesedaran, perpaduan dan penghormatan kepada golongan OKU serta mengajak masyarakat membina ekosistem yang inklusif, harmoni dan berkeadilan. Majlis kemudiannya diteruskan dengan tayangan klip video pendek yang memaparkan pencapaian serta perkembangan OKU di Negara Brunei Darussalam.
Seterusnya, majlis disusuli dengan bacaan doa sebelum membaca Al-Quran, diikuti bacaan secara beramai-ramai Surah Al-Waqiah dan Surah Al-Mulk serta bacaan doa selepas bacaan Al-Quran oleh peserta-peserta majlis.
Acara diteruskan dengan penyampaian ceramah khas bertajuk “Keindahan Al-Quran Dalam Kehidupan Insan Istimewa" yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar, Penolong Profesor, Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan. Antara intipati ceramah yang disampaikan menegaskan bahawa Al-Quran adalah teman setia mukmin sebagai sumber panduan ke jalan lurus, penenang hati dan kekuatan ketika menghadapi apa jua ujian kehidupan, ianya jua akan menjadi “insan istimewa" di dunia, di alam barzakh dan di hari akhirat bagi mukmin yang membaca dan mengamalkan Al Quran.
Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati dan sijil oleh Tetamu Kehormat kepada para peserta, penceramah dan penaja. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara BRunei Darussalam yang dibacakan oleh Yang Mulia Haji Mohd Azrol Alim bin Haji Zaini, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pegawai Pemantau Zon 2, Masjid Daerah Brunei dan Muara.
Turut hadir ialah, Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Hajah Fauziah binti Haji Abdul Hamid, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah, Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku pengerusi majlis, pegawai-pegawai kanan dari KKBS, KHEU, Kementerian Pendidikan, MKOKU dan persatuan-persatuan bukan kerajaan, rakan-rakan strategik KKBS dan para penaja.