.jpg)
Sumber : Pelita Brunei
Oleh : Aimi Sani - Penerangan
Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said - Penerangan
BERAKAS, Isnin, 3 November. - Negara Brunei Darussalam (NBD) akan menghantar kontinjen bagi menyertai 6th Islamic Solidarity Games 2025 yang akan berlangsung secara rasminya bermula pada 7 hingga 21 November 2025 di Riyadh, Arab Saudi.
Kontinjen NBD dianggotai seramai 13 orang terdiri daripada tujuh atlet dan enam pegawai termasuk Chef de Mission, Ketua Urus Setia, Pegawai Urus Setia dan jurulatih.
Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen NBD ke 6th Islamic Solidarity Games 2025, Riyadh, Arab Saudi berlangsung hari ini di Bilik Simpur, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.
Hadir menyempurnakan majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pembantu Perkembangan Ugama, Pusat Pembangunan Belia, Awang Muhammad Nabil bin Haji Roslan yang juga membacakan Doa Selamat pada akhir majlis.
Majlis kemudiannya diikuti dengan Naib Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC), Awang Haji Mohd. Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani menyampaikan teks sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden BDNOC.
Majlis seterusnya penyerahan bendera NBD disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Kebudayaan) kepada Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly selaku Chef de Mission Kontinjen NBD Ke 6th Islamic Solidarity Games 2025, Riyadh, Arab Saudi.
Pada sukan kali ini, NBD akan menyertai sebanyak tiga acara sukan iaitu Lawan Pedang, Karate dan Angkat Berat. Edisi tahun ini merupakan penyertaan negara kali ke-5 pada sukan tersebut dan penyertaan terakhir NBD ialah pada tahun 2022 di 5th Islamic Solidarity Games di Konya, Republik Turkiye.
Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Kerajaan Arab Saudi di NBD, Hani Yahya Maghrabi; Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; persatuan-persatuan sukan kebangsaan dan pegawai-pegawai kanan KKBS serta para ibu-bapa dan penjaga atlet.
.jpg)