​​​​​​​​

Upacara Menghantar Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Borneo Ke-6 2025, Kuching, Sarawak

JBS_UpacaraSelamatBelayarBorneoGames-19.jpg


​Sumber : Siaran Akhbar JBS

Foto : Adi Muadz - JBS


PANGKALAN TENTERA UDARA RIMBA, Isnin, 29 Rabiulawal 1447/22 September 2025. – Sukan Borneo Ke-6 2025 yang dijadual berlangsung di Kuching, Sarawak akan bermula pada 24 hingga 28 September 2025.


Seramai 36 orang ahli Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada 25 orang atlet, 5 orang Jurulatih dan 6 orang pegawai termasuk Chef de Mission, Ketua Urus Setia, Pegawai Urus Setia, Pegawai Perhubungan dan Kakitangan Perubatan telah berlepas ke Kuching, Sarawak bagi menyertai kejohanan tersebut dengan menaiki pesawat C295 MW Tentera Udara Diraja Brunei.


Berada di Pusat Pergerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Rimba bagi mengucapkan selamat belayar dan memberikan ucapan serta kata-kata semangat ialah Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat majlis.


Turut hadir ialah Yang Mulia Encik Abdul Munir Lutfi Said, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke Negara Brunei Darussalam; Yang Mulia Kolonel (U) Hismawadi bin Haji Mohd Said, Timbalan Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei; Yang Mulia Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan serta para ibu-bapa dan pe​njaga.


Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Yaardy bin Haji Abdul Karim, Pegawai Penganalisa di Jabatan Belia dan Sukan, diikuti dengan ucapan tetamu kehormat kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.


Kontinjen Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Chef de Mission, Yang Mulia Awang Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan.


Pada edisi Sukan Borneo kali ini, Negara Brunei Darussalam akan menyertai sebanyak lima daripada lapan acara sukan yang dipertandingkan iaitu Akuatik (Renang), Badminton, Olahraga, Boling Padang dan Tarik Tali.​


JBS_UpacaraSelamatBelayarBorneoGames-16.jpg JBS_UpacaraSelamatBelayarBorneoGames-28.jpg ​


​​​​