
Sumber : Siaran Akhbar DBP
Foto : Muhd Azinuddin - KKBS
Bandar Seri Begawan, Rabu, 24 Rabiulawal 1447/17 September 2025 – Pertandingan Peringkat Akhir Pidato Kebangsaan Brunei Darussalam sempena Sambutan Bulan Bahasa 2025 telah diadakan pada pagi ini bertempat di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulai dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam “Allah Peliharakan Sultan" dan bacaan Surah Al-Fatihah serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Majlis turut diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, selaku Pengerusi Pertandingan Pidato Kebangsaan Brunei Darussalam sempena Sambutan Bulan Bahasa 2025.
Acara diteruskan lagi dengan penyampaian pidato daripada lima (5) orang peserta yang berjaya mara ke peringkat akhir setelah melalui peringkat saringan yang diadakan pada Sabtu, 17 Zulhijah 1446/14 Jun 2025 yang lalu. Pertandingan Pidato Kebangsaan ini turut diselajurkan dengan persembahan sketsa bahasa Melayu oleh Yang Mulia Awang Mohd. Hairol bin Awang Haji Abdul Latiff dan seterusnya mendengarkan ulasan serta komentar daripada Yang Mulia Mohammed Zefri Ariff bin Mohammed Zain Ariff, Pensyarah, Universiti Brunei Darussalam selaku Ketua Panel Hakim. Penilaian dilaksanakan melalui tiga aspek, iaitu penilaian isi atau idea, bahasa dan teknik serta penyampaian yang memerlukan nilai tambah dan pembaikan pada masa akan datang.
Acara kemuncak bagi pertandingan pidato ini ialah pengumuman keputusan peringkat akhir Pertandingan Pidato Kebangsaan Brunei Darussalam sempena Sambutan Bulan Bahasa 2025, dan diselajurkan dengan majlis penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para pemenang, ahli panel hakim dan penyampaian persembahan yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis.
Keputusan Pertandingan Pidato Kebangsaan Brunei Darussalam adalah seperti yang berikut:
Pemenang Pertama
Awang Anang Muhammad Fathur'rahman bin Anang Abdul Rahman
Wang tunai sebanyak BND800.00, piala pusingan, piala, sijil penghargaan dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pemenang Kedua
Dayang Syafiqah Mumtazah binti Haji Mohd Arriffen
Wang tunai sebanyak BND600.00, plak, sijil penghargaan dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pemenang Ketiga
Dayang Muslimah binti Mahadi
Wang tunai sebanyak BND400.00, plak, sijil penghargaan dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

