%20(1).jpg)
Sumber : Siaran Akhbar dan Foto JAPEM
Bandar Seri Begawan, Rabu, 17 Syawal 1446/ 16 April 2025 - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan telah mengadakan Majlis Ramah Mesra bersama residen dan penghuni Kompleks Rumah Kebajikan (KRK) di bawah kendalian Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) sempena Hari Raya Aidilfitri 1446/2025. Majlis berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Hadir selaku tetamu kehormat bersama ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh residen KRK, diikuti dengan penyampaian sumbangan hari raya kepada residen dan penghuni KRK oleh tetamu-tetamu kehormat.
Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian daripada pegawai dan kakitangan, serta residen dan penghuni KRK. Majlis yang diadakan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara para pegawai dan kakitangan daripada kedua-dua kementerian bersama residen serta penghuni KRK, dan rakan-rakan strategik KKBS. Di samping itu, majlis ini juga sebagai platform bagi mengetengahkan bakat, minat dan meningkatkan keyakinan diri residen serta penghuni KRK dalam bidang seni persembahan.
Turut hadir ialah Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap daripada Kementerian Pembangunan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, ketua-ketua jabatan di bawah Kementerian Pembangunan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pesuruhjaya (ACWC) bagi Hal Ehwal Kanak-Kanak, Pesuruhjaya (ACWC) bagi Hal Ehwal Wanita, serta YM Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat selaku Pengerusi Majlis.