​​​​​​​​

Lawatan Muhibbah Dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Di Ulu Belait

IMG_9295.jpg

Sumber: KKBS

Foto: JMM


KUALA BELAIT, Ahad, 27 Syawal 1445H / 5 Mei 2024 – Bagi menyemarakkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1445H, tiga (3) Kementerian iaitu Kementerian Pembangunan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Rumah Panjang Kampung Apak-Apak (Merangking),  Rumah Besar Sukang dan Rumah Panjang Julangan Titah Kampung Melilas. Majlis ini diselenggarakan oleh Kementerian Pembangunan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.


Objektif bagi Sambutan Hari Raya Aidifitri 1445H adalah bagi mengeratkan lagi silaturrahim dan menyalurkan pemedulian atau pengelingaan pihak kerajaan terhadap kesejahteraan dan kemaslahatan komuniti rumah panjang melalui gabungan tiga (3) Kementerian.  Ia juga untuk meninjau lebih dekat keadaan dan kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan di kawasan Ulu, dan mengeratkan pertalian kekeluargaan dan kemesraan dikalangan komuniti rumah panjang untuk meraikan Sambutan Hari Raya Aidilitri.


Rombongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya ke Rumah Panjang Julangan Titah Kampung Melilas diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan telah disambut mesra dengan Yang Mulia Awang Haji Md Yassin bin Abdul Rahim, Ketua Rumah Panjang Julangan Titah Kampung Melilas.


Majlis dimulakan dengan bergambar ramai dan diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Mulia Md Saifulllah bin Abd Rahman, Imam Balai Ibadat Kampung Melilas.


Majlis diteruskan lagi dengan ucapan daripada wakil rumah panjang Kampung Melilas dan juga ucapan Selamat Hari Raya daripada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.


Majlis ini diserikan lagi dengan perasmian Sudut Bacaan khusus untuk penduduk di Kampung Melilas yang telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan dan seterusnya penyerahan buku dari wakil Pusat Dakwah Islamiah untuk kegunaan di Sudat Bacaan tersebut.


Sudut Bacaan ini merupakan salah satu perkhidmatan yang ditawarkan oleh Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei (DBP) dalam menyediakan koleksi bahan bacaan bersesuaian bagi memenuhi keperluan  masyarakat khususnya di Kawasan Ulu dan Rumah Panjang. Sumbangan buku dan majalah ini boleh dimanfaatkan untuk mendapatkan maklumat dan dijadikan saluran yang berkesan untuk menerapkan minat membaca dalam kalangan masyarakat.

IMG_8801.jpg

Antara objektif utama ia dilaksanakan adalah menjadikan rakyat lebih kreatif dalam menjana gagasan baharu dan mampu membangunkan tamadun negara dari segi keilmuan, sosial dan ekonomi. Masyarakat akan keperibadian mulia, berfikiran matang dan mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi melalui amalan membaca.


Pada masa ini beberapa sudut bacaan telah ditubuhkan seperti Sudut Bacaan PASMA, Sudut Bacaan Pengakap (Suluh Ilmu), Sudut Bacaan Penjara Maraburong, Sudut Bacaan Pusat Al-Islah, Rumah Panjang Mendaram (Belait), Rumah Panjang Amo (Temburong) dan Rumah Panjang Semabat (Temburong). 


Majlis diteruskan dengan menikmati jamuan disertai dengan persembahan dari penduduk Rumah Panjang Julangan Titah Kampung Melilas.


Seterusnya, demonstrasi dari pihak Unified National Network (UNN) mengenai dengan kelajuan data.


Majlis berakhir dengan Penyampaian Cenderahati dari Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ke Rumah Panjang Julangan Titah Kampung Melilas.


Turut hadir, Yang Mulia Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, SetiausahaTetap (Kesukanan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; dan Yang Mulia Dayang Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan),  Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pegawai dan Kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.



​​​​