​​​​​​​​

Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 1445/2024 Bersama Pelatih-Pelatih Pusat Bahagia dan Residen/Penghuni Kompleks Rumah Kebajikan

IMG_8610.jpg

Sumber: Siaran Akhbar JAPEM

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 24 Syawal 1445 / 4 Mei 2024 - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan anjuran bersama Kementerian Pembangunan dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah mengadakan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 1445/2024 bersama pelatih-pelatih Pusat Bahagia dan residen/penghuni Kompleks Rumah Kebajikan (KRK) di bawah kendalian Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) bertempat di Dewan An-Naura Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pagi tadi. 

 

Hadir selaku tetamu kehormat bersama ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. 

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh YM Ustaz Mayadi bin Haji Jais, Ketua Guru Ugama Pusat Bahagia. Majlis juga diserikan dengan persembahan daripada pelatih-pelatih Pusat Bahagia serta pegawai dan kakitangan daripada Pusat Bahagia dan KRK. 

 

Majlis yang diadakan pada hari ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara para pegawai dan kakitangan kedua-dua kementerian bersama warga orang kelainan upaya (OKU), residen serta penghuni KRK dan rakan-rakan strategik KKBS. Di samping itu majlis ini juga sebagai wadah untuk mengetengahkan bakat, minat dan meningkatkan keyakinan diri pelatih-pelatih Pusat Bahagia dan residen serta penghuni KRK dalam seni persembahan. 

 

Antara persembahan pentas yang menghiburkan majlis pada hari ini adalah sebuah sketsa bertajuk “Riuh Rendah di Hari Raya" dan nyanyian dalam Bahasa Isyarat yang mengetengahkan bakat-bakat daripada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam bidang seni. Bakat dan penglibatan golongan OKU dalam persembahan menarik ini telah menunjukkan bahawa masyarakat kita, terutamanya pihak Kerajaan, menyokong untuk membudayakan dan mempraktikkan inklusiviti dalam industri kreatif di negara ini. Melalui penglibatan seperti ini, adalah dihasratkan agar golongan OKU mempunyai peluang yang lebih luas dan secara tidak langsung dapat mempromosikan dan meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat bahawa golongan ini boleh menyertai apa jua aktiviti keramaian.

 

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap - Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap - Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan dan KKBS; ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan; ahli-ahli persatuan di bawah Majlis Kebangsaan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) serta rakan-rakan strategik KKBS dan YM Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat selaku Pengerusi Majlis.

IMG_8487.jpg

IMG_8530.jpg





​​​​