​​​​​​​​

Majlis Sambutan Hari Buku Sedunia 2024

23042024_Hari Buku Sedunia 2024 (9).jpg


​Sumber : Siaran Akhbar DBP

Foto : Mohd Nazib - DBP



Bandar Seri Begawan, Selasa, 13 Syawal 1445/23 April 2024 – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengungkayahkan Majlis Sambutan Hari Buku Sedunia 2024 di Balai Sarmayuda, DBP. Sambutan ini merupakan acara tahunan pada setiap 23 April yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

 

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Haji Mohd.Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS). Turut hadir ialah Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Pengarah-pengarah di bawah Kementerian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, pengetua dan guru besar, para penuntut, penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, penulis dan penggiat sastera tanah air.

 

Majlis Sambutan Hari Buku Sedunia 2024 ini merupakan antara usaha besar dan strategik DBP untuk memberikan inspirasi kepada masyarakat dalam mencintai buku dan gemar membaca khususnya dalam kalangan kanak-kanak. Usaha ini juga merupakan upaya jabatan dalam menekankan lagi kepentingan membaca sebagai jambatan ilmu kepada semua kalangan masyarakat.

 

Antara objektif sambutan ini diadakan adalah untuk memperkasa budaya membaca yang berterusan dalam kalangan masyarakat, menggalakkan masyarakat terutama kanak-kanak meneroka dan menikmati keseronokan membaca buku, mendedahkan kepada generasi muda tentang peri pentingnya membaca buku, menggalakkan masyarakat berkarya melalui amalan budaya membaca yang dapat membina keyakinan diri dan mampu meningkatkan kemahiran berkomunikasi apabila berhadapan dengan khalayak ramai.

 

Sambutan ini juga bertujuan untuk menyuntik budaya membaca terutamanya generasi muda dan menanamkan sikap cintakan ilmu melalui aktiviti yang berkaitan dengan pembacaan.

 

Majlis juga diserikan dengan sebuah Program Ceramah Motivasi: “Seindah Bicara" yang disampaikan oleh Yang Mulia Cikgu Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor, Ketua Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil dan cenderamata kepada panel ceramah motivasi.

 

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama Tetamu Kehormat Majlis dan penulis-penulis buku jabatan.


23042024_Hari Buku Sedunia 2024 (3).jpg 23042024_Hari Buku Sedunia 2024 (2).jpg23042024_Hari Buku Sedunia 2024 (7).jpg  23042024_Hari Buku Sedunia 2024 (10).jpg


​​​​