
Sumber Berita: KKBS
Foto: KKBS
Jeddah, Kerajaan Arab Saudi, Selasa, 23 Rabiulakhir 1445 / 7 November 2023 – Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menghadiri “International Conference on Women in Islam: “Status and Empowerment”, di Jeddah, Kerajaan Arab Saudi dari 6 hingga 8 November 2023. Persidangan itu julung-julung kalinya diadakan dan dipengerusikan bersama dan dianjurkan oleh Kementerian Luar Negeri Kerajaan Arab Saudi dan Sekretariat Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Persidangan itu dihadiri oleh Ketua-Ketua Negara Wanita, Menteri, dan perwakilan dari pelbagai organisasi antarabangsa dan serantau yang terlibat dalam hal ehwal wanita termasuk ulama dan penyelidik dari pelbagai negara di seluruh dunia.
Dengan bertemakan "Status and Empowerment", persidangan itu antara lainnya diadakan untuk mengetengahkan kejayaan dan sumbangan wanita Islam sejak lahirnya Islam sehingga kini, dan menekankan bahawa ajaran dan nilai-nilai Islam telah melindungi dan memperkasa wanita. Persidangan itu juga meneroka beberapa tema dan bidang termasuk cabaran dan peluang untuk wanita Islam dalam masyarakat kontemporari; serta pemerkasaan wanita Islam dalam bidang pendidikan dan pekerjaan.
Antara lain, Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin Binti Haji Johari, berucap bahawa peristiwa baru-baru ini telah menekankan akan kepentingan perpaduan Ummah, dan mengutamakan tindakan secara kolektif dalam mempromosi kepentingan dan nilai bersama di peringkat global. Oleh itu, Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan penganjuran Persidangan Antarabangsa ini, untuk menonjolkan keagungan Islam dalam mengangkat martabat wanita, dan menangani kesalahfahaman bahawa ajaran dan nilai-nilai Islam merampas hak wanita dalam masyarakat. Dayang Hajah Nor Ashikin menekankan peranan penting wanita dan gadis dalam memajukan Negara Brunei Darussalam, selaras dengan prinsip-prinsip Maqasid Syariah, dan menyatakan perwakilan wanita dalam dasar dan membuat keputusan adalah tinggi, baik dalam sektor kerajaan mahupun swasta. Beliau juga berkongsi komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam untuk memajukan wanita agar lebih jauh, di mana Penyelidikan mengenai Pembangunan Wanita yang telah pun siap baru-baru ini akan membantu dalam penggubalan Pelan Tindakan yang baharu terhadap Wanita.
Turut hadir pada Persidangan itu ialah pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.