Page Content
Upacara Penyerahan Bendera dan Selamat Belayar bagi Kontingen NBD 4th Asian Para Games 2022, Hangzhou, China
|

Sumber : Siaran Akhbar KKBS
Foto : Md Azinuddin - KKBS
Berakas, Khamis, 04 Rabiulakhir 1445 / 19hb Oktober 2023M – Negara Brunei Darussalam akan menghantar kontingen sukan bagi menyertai 4th Asian Para Games 2022, Hangzhou, China yang akan diadakan secara rasminya bermula 22 hingga 28 Oktober 2023.
Kontingen Negara Brunei Darussalam dianggotai seramai 4 orang terdiri daripada seorang (1) Urus Setia, (1) seorang Jurulatih dan (1) seorang atlet iaitu Awang Shari bin Haji Juma'at, yang akan menyertai Sukan Para Olahraga (dalam acara Shotput F55, Discus Throw F54/55/56, Javelin F55) dan diketuai oleh seorang (1) Chef de Mission.
Hadir menyempurnakan penyerahan bendera negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada Yang Mulia Awang Haji Ali Yusri bin Abdul Ghafor, Chef de Mission.
Turut hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo, Duta Besar Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Kesukanan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap(Kebudayaan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan Belia dan Sukan.
Pada tahun ini, pihak penganjur Asian Para Games telah melaksanakan sistem baru pemilihan dengan menetapkan bahawa acara sukan Para Athletics hendaklah memenuhi kriteria yang ditetapkan berdasarkan Minimum Qualifying Standard (MQS) bagi setiap acara yang disertai seperti aktif menyertai kejohanan jemputan anjuran International Paralympic Committee (IPC), dalam mana hasil ujian kelayakan berkenaan, hanya seorang daripada empat (4) atlet negara ini yang layak disokong untuk menyertai kejohanan berkenaan.
Pada 4th Asian Para Games kali ini, ianya merupakan penyertaan Negara Brunei Darussalam kali ke- 4 ke kejohanan tersebut.
|