TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
KALI KE-41,
BAGI TAHUN 1446H/2025M
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem.
Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala, di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita semua untuk sama-sama meraikan dan memperingati peristiwa bersejarah negara iaitu kemerdekaan Negara Brunei Darussalam yang dicapai pada 1 haribulan Januari 1984.
Setiap kali tibanya Hari Kebangsaan, kita bukan sahaja meraikan kemerdekaan, tetapi juga dituntut untuk muhasabah diri. Kita perlu bertanya kepada diri sendiri: Apakah kita sudah benar-benar memahami erti kemerdekaan?
Perlu diingat, kemerdekaan bukanlah setakat untuk memperingati detik berlakunya pada setiap tahun. Tetapi perlu juga difahami bahawa kemerdekaan adalah tanggungjawab untuk memelihara perpaduan dan membangun negara menjadi sebuah negara yang aman dan makmur.
Oleh itu, eloklah kita merenung: Apakah sumbangan yang telah kita sumbangkan dalam mempertahankan kemerdekaan, serta bagaimanakah pula caranya untuk kita dapat memastikan bahawa kemerdekaan yang telah dan sedang kita nikmati akan terus terpelihara untuk anak cucu kita?
Sesungguhnya, memahami erti kemerdekaan adalah bermula dari menghargai pengorbanan mereka yang telah berjuang, dengan kita pula berganding bahu mengisi kemerdekaan yang ada, tanpa mengira kaum, ugama dan latar belakang.
Akhir-akhir ini, kita sering dihidangkan dengan berita-berita mengenai keadaan ekonomi negara. Ini termasuk kenyataan, bahawa terdapat kelemahan dalam usaha Kerajaan memajukan sektor-sektor berkepentingan serta menyediakan peluang-peluang bagi peniaga-peniaga rakyat tempatan.
Sesungguhnya, kita tidak menafikan terdapat cabaran yang dihadapi oleh Kerajaan dalam usaha untuk memajukan dan meningkatkan prestasi ekonomi negara. Namun demikian, kita juga masih sahaja mampu menghasilkan kejayaan dalam bidang-bidang tertentu yang menyumbangkan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), termasuk usaha ke arah kepelbagaian ekonomi.
Menyebut mengenai kepelbagaian ekonomi, berdasarkan fakta, bahawa usaha Kerajaan telahpun menunjukkan pencapaian positif KDNK dalam sektor bukan minyak dan gas sejak tahun 2017 dengan purata pertumbuhan sebanyak 4.3 peratus setahun. Ini bermakna sektor ini telah meningkatkan sumbangannya kepada KDNK dari 43 peratus pada tahun 2017 kepada 54 peratus pada tahun 2023. Dalam tempoh pertumbuhan sektor tersebut, yang secara purata didorong oleh sektor industri petrokimia pada kadar 44.5 peratus, diikuti oleh sektor kewangan sebanyak 5.3 peratus, dan sektor perdagangan tempatan sebanyak 3.5 peratus.
Selain kemajuan berkaitan ekonomi negara, Alhamdulillah, sehingga ke hari ini Kerajaan Beta masih berupaya untuk menyediakan perkhidmatan pendidikan, kesihatan, keselamatan, prasarana awam serta keperluan-keperluan asas bagi kepentingan dan kesejahteraan seluruh rakyat dan penduduk negara ini.
Sangat mustahak juga diingat, bahawa sesebuah negara adalah ibarat sebuah rumah besar. Kekuatannya bukan sahaja bergantung kepada tiang dan dinding yang kukuh, tetapi juga setiap penghuninya mestilah sama-sama bertanggungjawab untuk menjaga dan memeliharanya. Kejayaan dan kemakmuran negara tidak hanya terletak di bahu Kerajaan semata-mata, bahkan setiap lapisan masyarakat mesti turut berperanan sama.
Sebagai warganegara yang baik, tidak siapapun yang boleh berkecuali dalam membangun negara. Banyak atau sedikit sumbangan masing-masing, itulah jasa dan pengorbanan namanya.
Di samping kita juga memahami, bahawa setiap pencapaian yang besar adalah memerlukan cita-cita dan usaha yang tidak mengenal luntur. Selagi kita berkongsi cita-cita yang sama, berdiri sebagai satu pasukan dan bekerja keras, maka kita pasti akan dapat menjulang kejayaan dan kecemerlangan.
Kita juga sedar, dalam menempuh era digital masa kini, setiap pihak khasnya generasi muda perlu merebut peluang dengan melengkapi diri dengan kemahiran teknologi terkini. Ini boleh sahaja dilakukan melalui pemikiran yang progresif dan inovatif serta kesungguhan untuk berubah, lalu untuk itu, adalah penting untuk memupuk sikap berdikari sebagai asas meraih kejayaan dalam pembangunan.
Marilah kita bersama-sama memainkan peranan dalam membina masa depan yang lebih cerah untuk kita hari ini dan generasi yang akan datang. Semoga dengan semangat patriotisme dan perpaduan, kita akan dapat mencapai wawasan negara yang mampan, maju dan inklusif.
Akhirnya, Beta sukacita ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk peserta, petugas dan ahli-ahli Jawatankuasa yang bertungkus lumus dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41 pada tahun ini.
Tidak lupa juga ucapan penghargaan ditujukan kepada semua lapisan rakyat, termasuk warga Perkhidmatan Awam, sama ada yang bertugas di dalam mahupun di luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan, para sukarelawan termasuk belia serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam rahmat, pemeliharaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.