.jpg)
Sumber : Siaran Akhbar PSB
Foto : Mastinah - PSB, Md Azinuddin - KKBS, Md Nasrullah - JMM
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 12 Zulhijjah 1447 / 30 Mei 2026 – Majlis Ibadah Korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha bagi tahun 1447 Hijrah/2026 Masihi anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah diadakan di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis tersebut diadakan khusus bagi pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta jabatan-jabatan di bawahnya, anak-anak yatim dalam kalangan warga kementerian, serta penghuni Pusat Penempatan Sementara (PPS) dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan pengagihan daging korban bagi penerima lelaki ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Manakala pengagihan bagi penerima perempuan disempurnakan oleh Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis turut dihadiri oleh pengarah-pengarah, para pegawai kanan, pegawai serta kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Selawat Tafrijiyah dan Sayyidul Istighfar yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Nabil bin Haji Ruslan, Pembantu Perkembangan Ugama, Pusat Pembangunan Belia (PPB).
Majlis kemudian diteruskan dengan tazkirah khas yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Sammali bin Haji Adam, Pegawai Pelajaran, Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, bertajuk “Ibadah Korban Lambang Ketaqwaan". Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Seramai 226 orang penerima telah menerima agihan daging korban, terdiri daripada kakitangan, dan anak-anak yatim pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan jabatan-jabatan di bawahnya, serta Penghuni PPS dan JAPEM.
Majlis ini merupakan salah satu usaha berterusan kementerian dalam menyemarakkan syiar Islam, di samping memupuk semangat kebersamaan, keprihatinan dan ukhuwah dalam kalangan warga kementerian serta masyarakat yang memerlukan.