
Sumber : Siaran Akhbar JMM
Foto : Muhd Azinuddin - KKBS, Md Nasrullah - JMM
Bandar Seri Begawan, Khamis, 29 Zulhijjah 1446/26 Jun 2025 – Sempena Sambutan Hari Arkib Antarabangsa yang diraikan setiap tahun pada 09 Jun, Jabatan Muzium-Muzium melalui Arkib Negara Brunei Darussalam mengadakan Pameran Wajah Brunei: Menyusuri Memori. Majlis Pelancaran bagi pameran ini diadakan pada hari ini, 26 Jun 2025 di Galeri 4, Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja.
Dengan tema “#ArkibDapatDiAkses – Arkib Untuk Semua", pameran ini menekankan kepentingan keterbukaan dan akses maklumat arkib yang inklusif kepada semua lapisan Masyarakat. Ia membuktikan bahawa warisan dokumentasi negara bukan hanya disimpan, tetapi dikongsi dan dihidupkan kembali melalui naratif yang mudah didekati dan difahami oleh generasi kini dan akan datang.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan majlis pelancaran ini ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Terutama, Duta-Duta dan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi Luar Negara di Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, Warga Arkib serta Pengurus Rekod Di Jabatan Kerajaan dan warga Jabatan Muzium-Muzium.
Majlis Pelancaran dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis, Yang Mulia Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus, Pemangku Pengarah Jabatan Muzium-Muzium yang dalam ucapannya, menekankan komitmen dalam memelihara memori warisan sejarah dan menjadikan arkib sebagai sumber ilmu yang mudah diakses oleh semua. Pameran tersebut mengetengahkan perjalanan sosioekonomi negara melalui dokumen, foto dan rakaman lisan yang bernilai, sekali gus menjadi jambatan antara masa lalu dan masa depan bagi memupuk penghayatan warisan serta memperkukuh jati diri dan identity kebangsaan.
Pameran Wajah Brunei: Menyusuri Memori ini dibukakan untuk kunjungan orang ramai selama 1 bulan, bermula 26 Jun 2025 hingga 26 Julai 2025 di Galeri 4, Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja. Selain Pameran, turut diadakan beberapa aktiviti sampingan yang akan diadakan setiap hari sabtu, sepanjang satu bulan pameran dijalankan seperti Program Kenali Wajah Brunei. Program ini akan memberikan pendedahan mengenai sosioekonomi Brunei melalui aktiviti yang akan disediakan. Disamping itu, satu forum akan diadakan pada bulan Julai 2025 bersempena Hari Arkib Antarabangsa 2025.