​​​​​​​​

Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, Tahun 2025

20250114_AKJT2-3.jpg



Sumber : Siaran Media KKBS

Foto : Md Azinuddin - KKBS


Bandar Seri Begawan, Selasa, 14 Rejab 1446/ 14 Januari 2025 – Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, Tahun 2025 telah diadakan pada hari ini, di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 ​

Mesyuarat kedua tersebut merupakan kesinambungan daripada mesyuarat pertama jawatankuasa tertinggi yang telah membincangkan mengenai persediaan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, Tahun 2025 antaranya ketetapan format persembahan padang, tempat, tetamu kehormat majlis bagi majlis-majlis, logo dan tema serta perbarisan dan ikrar termasuklah persediaan raptai-raptai yang akan dilaksanakan.

 

Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan; dan Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Dayang Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, Menteri Pendidikan.

 

Mesyuarat dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan yang antara lain mengongsikan mengenai persiapan-persiapan yang sedang giat dilaksanakan bagi menjayakan Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, Tahun 2025 yang akan diadakan pada hari Ahad, 23 Februari 2025.

 

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga menyatakan bahawa dengan bersandarkan penerapan pendekatan senegara (Whole of Nation Approach), semua jawatankuasa akan dapat memberikan kerjasama dan sama-sama berganding bahu dalam memastikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, Tahun 2025 berjalan dengan lancar, teratur, sempurna dan berhemah dari tahun sebelumnya.

 

Turut sama berangkat dan hadir ke mesyuarat tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Penasihat Bersama; Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Yang Mulia Pesuruhjaya Polis Diraja selaku Timbalan Pengerusi Bersama. Juga hadir ialah Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Mulia Setiausaha- setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, 2025.





​​​​