​​​​​​​​

Pesta Ria Inklusif Sempena Sambutan Hari Orang Kelainan Upaya 2024

20241215_Pesta Ria Haoku-10.jpg



Sumber : Siaran Akhbar JAPEM

Foto : Md Azinuddin - KKBS, Md Aiman Sufyan - JAPEM



​Bandar Seri Begawan, Ahad, 13 Jamadilakhir 1446/ 15 Disember 2024  -  Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah merasmikan acara Pesta Ria Inklusif bersempena dengan Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) yang disambut pada 3 Disember setiap tahun bertempat di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan hari ini.

 

​Dengan bertemakan “Memperkasa Kepimpinan Orang Kelainan Upaya untuk Masa Depan yang Inklusif dan Mampan (Amplifying the leadership of persons with disabilities for an inclusive and sustainable future.)", aktiviti ini diadakan dengan tujuan untuk meraikan penyertaan dan perkembangan golongan OKU di dalam masyarakat dan meningkatkan usaha memupuk kesedaran serta mendidik masyarakat terhadap keperluan golongan OKU serta untuk membentuk pandangan positif dan kesaksamaan terhadap golongan tersebut jua.

 

Acara dimulakan dengan sesi senamrobik beramai-ramai yang diketuai oleh Awang Haji Hasnani @ Haji Naning bin Haji Abdul Rahman, Ketua Jurulatih, HSN Fitness dan diteruskan dengan perasmian Pesta Ria Inklusif oleh tetamu kehormat. Aktiviti “Fun Walk" sejauh lebih kurang 1.40 kilometer turut disertai oleh lebih daripada 200 peserta, termasuk golongan OKU.

 

Orang ramai juga berpeluang untuk menyaksikan pameran dan mengikuti aktiviti-aktiviti yang diadakan oleh persatuan-persatuan OKU, persatuan badan-badan bukan kerajaan dan pihak swasta.

 

Pada acara tahun ini, tetamu kehormat bersama pegawai kanan kerajaan mempelajari dan merasai sendiri menggunakan kerusi roda dengan mengikuti aktiviti anjuran PJSC yang diketuai oleh Dr Abang Muhammad Fahmy bin Awang Hj Hepnie, Konsultant Perubatan Pemulihan dan Ketua Jabatan Pemulihan. Aktiviti riadah berkenaan adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pengalaman OKU mengguna kerusi roda melalui beberapa petunjuk arah dan halangan.

 

Turut hadir ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, YM Malai Sharifah Adilah Surya binti Malai Haji Abdullah, Yang Di-Pertua Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya, YM Awang Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor, Yang Di-Pertua Majlis Paralimpik Brunei Darussalam, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan rakan-rakan strategik dari agensi swasta termasuk badan-badan bukan kerajaan.

 

Sambutan HAOKU ini dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (CDC) Kementerian Kesihatan, Persatuan Special Olympics Brunei Darussalam (SOBD) dan Persatuan SMARTER di bawah Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), Majlis Paralimpik Brunei Darussalam (PCBD), Persatuan Bahasa Isyarat-Jurualih Kitani (BI-JAK), UnikLearn, La Vida, Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) dan Pusat Akademi Sukan Memanah Ar Rafi (PASMA).


20241214_Pesta Ria Haoku.jpg  20241215_Pesta Ria Haoku-32.jpg 20241215_Pesta Ria Haoku-50.jpg 20241215_Pesta Ria Haoku-66.jpg​ 






​​​​