Sumber : Siaran Akhbar JBS
KUALA BELAIT, Ahad, 6 Jamadilakhir 1446/8 Disember 2024. – Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) khususnya Jabatan Belia dan Sukan (JBS) telah mengungkayahkan Kempen Hari Bertindak Sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2024 yang diadakan serentak di keempat-empat daerah hari ini.
Hari Sukarelawan Antarabangsa merupakan mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diadakan pada 5 Disember setiap tahun. Hari Sukarelawan Antarabangsa dilihat sebagai peluang unik bagi sukarelawan dan organisasi untuk meraikan usaha, berkongsi dan mempromosi kerja mereka serta menyumbang kepada perdamaian dan pembangunan dengan menyokong pengiktirafan sukarelawan dan bekerjasama dengan rakan-rakan untuk mengintegrasikan sukarelawan ke dalam program pembangunan.
Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa ini bertujuan untuk menyediakan platform bagi mengumpulkan masyarakat Negara Brunei Darussalam dalam pembangunan semangat kesukarelawanan, serta menjadi lambang perpaduan dan usaha di pelbagai peringkat masyarakat menuju ke arah perubahan melalui pendekatan bersama dan bekerjasama.
Objektif utama sambutan adalah sebagai wadah bagi mengumpulkan masyarakat ke arah memupuk semangat kesukarelaan, disamping memberi penghargaan kepada sukarelawan dan organisasi yang aktif dalam kerja-kerja sukarela melalui penggunaan aplikasi Mengalinga. Ianya juga dapat memperkukuhkan budaya perpaduan dikalangan masyarakat dalam melaksanakan kerja-kerja yang bermanfaat serta memberikan kefahaman mengenai konsep kesukarelaan melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
Bersempena dengan sambutan tersebut, Majlis Sambutan dan Penghargaan Kempen Hari Bertindak telah diadakan di Kompleks Sukan Mumong, Daerah Belait.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan.
Hadir sama selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Turut hadir menyertai aktiviti Kempen Hari Bertindak (Day of Action - DOA) di Daerah Belait ialah Yang Mulia Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap (Kebeliaan) KKBS; Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) Kementerian Pembangunan; Yang Mulia Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub, Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan) Kementerian Pembangunan; Yang Mulia Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh, Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang) Kementerian Pembangunan; serta pegawai-pegawai kanan KKBS dan Kementerian Pembangunan.
Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abdul Qayyum bin Haji Aminnuddin, Imam Masjid RPN Kampung Pandan, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, Pengarah Belia dan Sukan selaku Pengerusi Majlis dan diteruskan dengan penyampaian sijil dan plak penghargaan kepada lima (5) Trailblazers Aplikasi Mengalinga bagi sesi 2023-2024 yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis. Manakala penyampaian sijil dan plak penghargaan kepada lima (5) Highflyers Aplikasi Mengalinga bagi sesi 2023-2024 telah disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis.
Bagi memeriahkan lagi majlis sambutan, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan di sekitar kawasan Kompleks Sukan Mumong seperti Penyerahan Sumbangan Back to School kepada sepuluh (10) orang penerima bantuan disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis, mengecat walkway, menanam bunga, dan Self Practical Defensive Driving.
Tetamu Kehormat Majlis juga turut menyertai aktiviti Kempen Hari Bertindak di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan anjuran IBTE Agro-Technology, Wasan iaitu Program Kesedaran Gaya Hidup Sihat. Seterusnya Tetamu Kehormat Majlis bergerak ke Skate Park Kampung Pandan bagi mengikuti aktiviti Mural Painting dan mengecat kawasan Skate Park anjuran Belia Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pandan.
Daerah Belait
Foto : Lailatul Ameerah, Md Azinuddin, Hazwan Hamzah - KKBS
===
Bagi Daerah Brunei dan Muara, aktiviti Kempen Hari Bertindak bermula di Masjid Kampong Lambak. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS serta pegawai-pegawai kanan KKBS. Aturcara majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Subuh Berjemaah diimamkan oleh Yang Mulia Awang Mohammad bin Haji Bagol, Pegawai Hal Ehwal Masjid selaku Imam Masjid Kampong Lambak, dan diikuti dengan tazkirah disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang, Pegawai Perkembangan Ugama dari Pusat Da'wah Islamiah. Majlis diselajurkan dengan penyerahan telekong yang telah dibersihkan serta peralatan dan keperluan masjid anjuran Persatuan Perbekal dan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Imam Masjid Kampong Lambak. Aktiviti diteruskan lagi dengan acara senamrobik dan berjalan pantas, menanam pokok kenangan dan kempen kebersihan kawasan persekitaran masjid. Aktiviti seterusnya diadakan di Dewan Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad, Kampong Setia iaitu Majlis Kembali Ke Sekolah Bersama UNISSA anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). Aktiviti selanjutnya diadakan di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan iaitu Pameran Jet Ski kendalian Persatuan Jet Brunei; Bengkel Menapih Sinjang dan Menambat Dastar diungkayahkan oleh Persatuan BERSATU; Bengkel Asas Memanah anjuran Kelab Memanah Setia Bersatu; Bengkel Asas Penulisan Khat Jawi anjuran Pusat Sejarah Brunei; Kemahiran Asas Kayak Fasa II kendalian Persatuan Kayak; Bengkel Penulisan Skrip dikendalikan oleh Kumpulan Putra Seni dan Bengkel Lanjutan Fotografi anjuran Persatuan Jurufoto Negara Brunei Darussalam. Acara Kemuncak ialah aktiviti melukis mural Kempen Hari Bertindak dikendalikan oleh Pengakap Tunas Daerah Brunei dan Muara; menanam pokok dan menandatangani lembaran kenangan diungkayahkan oleh pegawai dan kakitangan Pusat Belia; Majlis Penyampaian Sijil; Sembahyang Fardhu Zohor Berjemaah; dan pelepasan konvoi menghantar sedekah makanan asasi kepada lima (5) buah keluarga anjuran Mantan Sukarelawan Belia Kebangsaan, Persatuan Ibu-Ibu Tunggal, Persatuan Pandu Puteri Daerah Brunei dan Muara, Kumpulan Projek Bina Bakti dan Kumpulan Muslimah Universiti Brunei Darussalam.
Daerah Brunei dan Muara
Foto : Ibrahim Sabli- JBS, Fatin Adillah, Md Nasrullah - JMM
===
Sementara di Daerah Tutong pula, aktiviti Kempen Hari Bertindak telah berlangsung di Kompleks Sukan Tutong. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, Setiausaha Tetap (Tenaga) Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir ialah Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) KKBS serta pegawai-pegawai kanan KKBS. Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah sesi senamrobik di Kawasan Grandstand, Kompleks Sukan Tutong; kemudian briskwalk menuju ke Kawasan Semaian, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) Tutong bagi menyemai benih bunga; Tetamu Kehormat beredar ke Kawasan Bangunan Bahagian Belia, JBS Tutong bagi aktiviti Let's Clean, Let's Green with IMPAK! dan menanam bunga dikendalikan oleh IMPAK dan JBS Tutong. Tetamu Kehormat seterusnya bergerak ke Tanah Lapang dan Pusat Latihan Persatuan Pengakap Daerah Tutong bagi menyertai Program Kehijauan dan canvas painting mural Kempen Hari Bertindak. Acara terakhir diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka Tutong bagi aktiviti Back to School dan pertandingan mewarna.
Daerah Tutong
Foto : Pg Mohd Fawzy, Hj Syazwan, Ehza Ahwaz Saffaraz - PSB
===
Manakala di Daerah Temburong, aktiviti Kempen Hari Bertindak bermula di Kawasan Dewan Kemasyarakatan RPN Kampung Rataie. Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Brigadier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin, Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan. Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan) KKBS serta pegawai-pegawai kanan KKBS. Aturcara bermula dengan sesi senamrobik kendalian Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) dan diikuti dengan Think Green - kempen kebersihan di Taman Permainan Kanak-Kanak dan kawasan dewan anjuran JASTRe Temburong, Jabatan Bomba dan Penyelamat Temburong, PKBN dan MPK RPN Kampung Rataie. Tetamu Kehormat kemudiannya bergerak ke Kawasan Masjid RPN Kampung Rataie bagi aktiviti Tree Planting – menanam bunga dan kempen kebersihan masjid di kawasan tersebut. Tetamu Kehormat juga turut menyertai Kami Paduli iaitu menyampaikan sumbangan bantuan barangan makanan asasi dan membersihkan kawasan rumah yang dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), PKBN dan MPK STKRJ Kampung Rataie.
Seterusnya Tetamu Kehormat bergerak ke Dewan Bahasa dan Pustaka Temburong bagi mengikuti aktiviti Mini Festival DBP dan Back to School Donation iaitu penyerahan sumbangan barangan peralatan sekolah bagi anak-anak yatim yang terpilih di Daerah Temburong dan canvas painting kendalian JAPEM Temburong, DBP Temburong dan Belia Permata Hijau. Akhirnya Tetamu Kehormat bergerak ke Padang Kemasyarakatan Pekan Bangar bagi menyertai Glamping Permata Hijau iaitu aktiviti perkhemahan santai dan aktiviti sampingan yang dikendalikan oleh Persatuan Pengakap Daerah Temburong, GHB Campers, Family Camping Brunei (FCB) dan Brunei Campers.
Daerah Temburong
Foto : Md Nazib, Khairul Anuar - DBP
===
Maraton Aktiviti Sukarelawan telah bermula pada 11 November 2024 dan akan diadakan hingga 31 Januari 2025. Lebih 100 aktiviti telah disusun setakat ini bagi Kempen Hari Bertindak 2024 seluruh negara dengan melibatkan lebih daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, persatuan/pergerakan belia, organisasi bukan kerajaan (NGO), Majlis Perundingan Kampong (MPK) dan sekolah-sekolah. Pendaftaran bagi menyertai aktiviti Kempen Hari Bertindak ini telahpun dibukakan bermula 12 September 2024 hingga 16 Januari 2025. Sebarang maklumat mengenai aktiviti-aktiviti Kempen Hari Bertindak boleh diperolehi melalui aplikasi Mengalinga serta Instagram @jbs.bn, @dayofaction.brunei dan @hab.belia.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan mengalu-alukan penyertaan belia untuk mengikuti pelbagai aktiviti-aktiviti kesukarelawan yang telah pihak urus setia majlis sediakan di keempat-empat daerah. Bagi sebarang pertanyaan lanjut bolehlah menghubungi talian 2381903/4/5 sambungan 1304/5 atau menghantar e-mel ke ivdbn.jbs@gmail.com.