​​​​​​​​

Majlis Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2024

05122024_DoaKesyukuran DOA (1).JPG



Sumber : Siaran Akhbar JBS

Foto : Md Azinuddin - KKBS


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 3 Jamadilakhir 1446/5 Disember 2024. – Hari Sukarelawan Antarabangsa merupakan mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diadakan pada 5 Disember setiap tahun.

 

Hari Sukarelawan Antarabangsa dilihat sebagai peluang unik bagi sukarelawan dan organisasi untuk meraikan usaha, berkongsi dan mempromosi kerja mereka serta menyumbang kepada perdamaian dan pembangunan dengan menyokong pengiktirafan sukarelawan dan bekerjasama dengan rakan-rakan untuk mengintegrasikan sukarelawan ke dalam program pembangunan.

 

Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan mengadakan Kempen Hari Bertindak Sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2024.

 

Bersempena dengan sambutan tersebut, Majlis Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2024 telah diadakan bertempat di Masjid Ash-Shaliheen, hari ini.

 

Hadir ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Tetamu Kehormat Majlis.

 

Hadir sama ialah Yang Mulia Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap (Kebeliaan); Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan) selaku menjalankan tugas Setiausaha Tetap (Kesukanan); pegawai-pegawai kanan KKBS; Persatuan dan Pergerakan Belia; Belia-Belia Masjid; Alumni Program-Program Kebangsaan dan Antarabangsa; Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Kempen Hari Bertindak Sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2024; dan belia individu serta orang ramai.

 

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Yang Mulia Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, Pegawai Hal Ehwal Masjid, diikuti dengan Tazkirah bertajuk 'Kepelbagaian Sukarelawan, Memperkuat Masyarakat' disampaikan oleh Yang Mulia Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan diselajurkan dengan Sembahyang Fardhu Asar Berjemaah diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran, Doa Untuk Rakyat Palestin, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam juga diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid.


​Antara perisian Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa pada tahun ini adalah seperti berikut: -

a. Majlis Doa Kesyukuran yang diadakan pada hari ini, Khamis, 5 Disember 2024 di Masjid Ash-Shaliheen;

b. Festival Hari Sukarelawan yang akan diadakan pada 6 hingga 8 Disember 2024 bertempat di Komplek Sukan Mumong, Daerah Belait;

c. Majlis Sambutan dan Penghargaan Kempen Hari Bertindak 2024 yang akan diadakan pada hari Ahad, 8 Disember 2024 di Kompleks Sukan Mumong, Daerah Belait; dan

d. Maraton Aktiviti Sukarelawan telah bermula pada 11 November 2024 dan akan diadakan hingga 31 Januari 2025.

 

Kempen Hari Bertindak pada tahun ini mempunyai sembilan (9) kluster program iaitu (1) Hak Asasi Haiwan; (2) Kemasyarakatan; (3) Keusahawanan Sosial; (4) Kesenian dan Kebudayaan; (5) Pembangunan Belia; (6) Pendidikan; (7) Inisiatif Hijau; (8) Bantuan Bencana; dan (9) Kerohanian dan Keugamaan.

 

Lebih 100 aktiviti telah disusun setakat ini bagi Kempen Hari Bertindak 2024 seluruh negara dengan melibatkan lebih daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, persatuan/pergerakan belia, organisasi bukan kerajaan (NGO), Majlis Perundingan Kampong (MPK) dan sekolah-sekolah. Pendaftaran bagi menyertai aktiviti Kempen Hari Bertindak ini telahpun dibukakan bermula 12 September 2024 hingga 16 Januari 2025. Sebarang maklumat mengenai aktiviti-aktiviti Kempen Hari Bertindak boleh diperolehi melalui aplikasi Mengalinga serta Instagram @jbs.bn, @dayofaction.brunei dan @hab.belia.


05122024_DoaKesyukuran DOA (5).JPG 05122024_DoaKesyukuran DOA (3).JPG 05122024_DoaKesyukuran DOA (7).JPG 05122024_DoaKesyukuran DOA (6).JPG





​​​​