Sumber : Siaran Media KKBS
Foto : Md Azinuddin- KKBS, Md Nasrullah - JMM
BERAKAS, Isnin, 16 Jamadilawal 1446 /18 November 2024 – Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, Tahun 2025 telah diadakan pada hari ini, bertempat di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr.Dayang Hajah Romaizah binti Haji Md.Salleh, Menteri Pendidikan selaku Pengerusi Bersama.
Agenda Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, Tahun 2025 kali ini memfokuskan kepada laporan-laporan perkembangan dan cadangan-cadangan mengenai persiapan yang sedang giat dilaksanakan, cadangan tarikh dan tempat, cadangan logo dan tema, dan tarikh-tarikh raptai bagi Upacara dan Acara Utama sambutan. Di samping itu, mesyuarat juga membincangkan tatacara pelaksanaan dan jumlah keramaian bagi Upacara Perhimpunan Agung, Majlis Doa Kesyukuran, Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan, Majlis Khatam 41 kali, dan acara-acara sampingan yang lain.
Turut sama hadir di Mesyuarat ini ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, selaku Penasihat Bersama, Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41, 2025.