​​​​​​​​

Pelancaran Hari Bakarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Tahun 2024 (HBY2024)

15112024_Hari Bekarih (2).JPG


Sumber : Siaran Akhbar YSHHB

Foto : M​d Azinuddin - KKBS



Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) ditubuhkan sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan ahli keluarga baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih baginda kepada rakyat baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

 

Pada hari ini, Jumaat, 13 Jamadilawal 1446 bersamaan 15 November 2024, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Pelancaran Hari Bakarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 2024 (HBY 2024) bertempat di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.  Hadir selaku tetamu kehormat dan melancarkan HBY2024 ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Awang Mohamad,  Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan SELAKU Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan YSHHB. 

 

HBY2024 diadakan bermula 15 November hingga 1 Disember 2024 dan dibukakan kepada orang ramai bermula pukul 3 petang hingga 9 malam. 

 

HBY2024 merupakan platform perniagaan bagi mengenalkan produk-produk yang dihasilkan oleh para Usahawan Bakarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu para pengusaha yang dilahirkan melalui program bantuan modal perusahaan atau perniagaan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.  Seramai 17 orang Usahawan Bakarih Yayasan yang mengusahakan pelbagai perusahaan menyertai aktiviti jualan.  

 

HBY2024 adalah kali ketiga dianjurkan sebagai inisiatif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi menyediakan ruang strategik sebagai sokongan kepada para pengusaha tempatan dalam mengukuhkan portfolio perniagaan mereka dan meluaskan rangkaian pemasaran produk mereka.  Inisiatif ini adalah selaras dengan salah satu Matlamat Strategik (SG) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Mendukung Pencapaian Taraf Sara Diri, dengan membantu meningkatkan tahap sara diri golongan sasar melalui program keusahawanan agar mereka mampu berdikari meningkatkan potensi diri dan mampu meningkatkan taraf kehidupan keluarga.

 

HBY2024 juga turut disertai oleh agensi-agensi yang merupakan rakan strategik Yayasan iaitu Keusahawanan JAPEM, Konsortium Muallafpreneurs, PROPAZ dan BIBD SEED. Beberapa usahawan yang dilahirkan melalui program-program tersebut juga turut menyertai aktiviti jualan sepanjang HBY2024 berlangsung.

 

Selain daripada aktiviti jualan, pelbagai aktiviti menarik juga disediakan bagi para pengunjung seperti Fun Fair, Memanah, Amazing Race, Face Painting, Henna Painting, Pertandingan Makan, Pertandingan Membuat Mini Lego, Pertandingan Membuat Teh Tarik, Kempen Derma Darah, Peraduan Mewarna dan bermacam-macam lagi.

 

Sebahagian daripada pendapatan acara fun fair disumbangkan kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA PMMAB).

 

Orang ramai dialu-alukan hadir dan datang memeriahkan Hari Bakarih Yayasan bagi menyokong pengusaha-pengusaha tempatan daripada kalangan golongan sasar Yayasan yang Mau Bakarih, Sanggup Bajarih Untuk Balurih.


15112024_Hari Bekarih (9).JPG 15112024_Hari Bekarih (14).JPG 15112024_Hari Bekarih (5).JPG​ 15112024_Hari Bekarih (16).JPG 




 


​​​​