​​​​​​​​

Mesyuarat ke-32 Majlis Komuniti Sosio Budaya ASEAN (ASCC)

​​26092024_32 ASCC LAO (1).jpg



Sumber : Siaran Media KKBS


VIENTIANE, REPUBLIK DEMOKRATIK RAKYAT LAO, Khamis, 22 Rabiulawal 1446 / 26 September 2024 – Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia, dan Sukan Negara Brunei Darussalam, telah menghadiri Mesyuarat ke-32 Majlis Komuniti Sosio Budaya ASEAN (ASCC) yang diadakan di Hotel Landmark Mekong Riverside, Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Lao.

 

Mesyuarat yang bertemakan “Enhancing Connectivity and Resilience" ini dipengerusikan oleh Puan Yang Terutama Suanesavanh Vignaket, Menteri Penerangan, Kebudayaan, dan Pelancongan Lao Republik Demokratik Rakyat Lao, selaku Pengerusi Majlis ASCC 2024. Mesyuarat juga turut dihadiri oleh Menteri-Menteri ASCC Negara-Negara Ahli ASEAN atau wakil, serta Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Tonggak ASCC. Timor-Leste juga hadir sebagai negara pemerhati.

 

Mesyuarat Majlis ASCC ke-32 memberi tumpuan kepada keutamaan serantau di bawah tonggak ASCC, termasuk antara lain kelestarian alam sekitar, kedaya-tahanan kesihatan dan perlindungan sosial. Mesyuarat menekankan akan pentingnya kerjasama serantau serta menyambut baik perkembangan dalam penyediaan Pelan Strategik ASCC Pasca-2025, yang merangkumi langkah-langkah strategik tonggak ASCC dalam beberapa bidang hasil utama untuk menyokong matlamat jangka panjang Visi Komuniti ASEAN 2045.

 

Semasa mesyuarat, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menekankan keperluan untuk mengimbangi keperluan generasi sekarang dan akan datang serta pentingnya meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kerja-kerja ASEAN dan bagaimana ianya telah memberi impak secara langsung kepada kehidupan mereka. Yang Berhormat Dato menekankan peranan penting kerjasama di antara sektor dan tonggak dalam menangani cabaran serantau utama dan seterusnya menyatakan sokongan Negara Brunei Darussalam terhadap dokumen hasil di bawah ASCC untuk yang akan dihadapkan untuk pengesahan Ketua-Ketua Kerajaan/Negara ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke- 44 dan ke-45.

 

Mesyuarat ke-32 Majlis ASCC telah didahului oleh Mesyuarat ke-7Ad-Hoc Working Group to Develop ASCC Post-2025 Strategic Plan, Mesyuarat ke-7 Working Group on Culture of Prevention, dan Mesyuarat ke-37 Senior Officials Committee for the ASCC (SOCA) yang telah berlangsung dari 23 hingga 25 September 2024.

 

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut disertai oleh Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ketua SOCA Negara Brunei Darussalam serta pegawai-pegawai dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei Darussalam.



26092024_32 ASCC LAO (3).jpg 26092024_32 ASCC LAO (2).jpg 





​​​​