Sumber : Siaran Media KKBS
Foto : Lailatul Ameera, Md Azinuddin - KKBS
BERAKAS, Ahad, 18 Rabiulawal 1446H/22 September 2024M – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Persekutuan Wushu Brunei Darussalam akan menganjurkan Kejohanan Dunia Wushu Remaja Ke-9, 2024 yang akan berlangsung bermula pada 25hb hingga 29hb September 2024 bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah dan Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
Satu Sidang Media mengenai Kejohanan Dunia Wushu Remaja Ke-9, 2024 telah diadakan di Bilik VIP, Tingkat I, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dikepalai oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Yaardy bin Haji Abdul Karim, Pegawai Penganalisa Sukan, Jabatan Belia dan Sukan.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan dari Yang Mulia Muhammad Firdaus bin Abdul Rahman, Pengerusi Bersama Eksekutif Kejohanan Dunia Wushu Remaja Ke-9, 2024 dan ucapan daripada Yang Mulia Mr. Zhang Qiuping, Setiausaha Agung International Wushu Federation (IWUF).
Majlis turut menyaksikan tayangan video bagi lagu tema Kejohanan Dunia Wushu Remaja Ke-9, 2024.
Yang Mulia Ang Ju Ming, Setiausaha Agung Eksekutif Kejohanan Dunia Wushu Remaja Ke-9, 2024 telah mengongsikan maklumat-maklumat mengenai Kejohanan Dunia Wushu Remaja Ke-9, 2024.
Tarikh dan Tempat:
Kejohanan Dunia Wushu Remaja Ke-9, 2024 akan diadakan bermula pada 25hb hingga 29hb
September 2024.
Sebanyak 2 kategori akan dipertandingkan iaitu acara Taolu yang akan diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah dan acara Sanda akan berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
Penyertaan:
Pada tahun ini, seramai 931 orang yang terdiri daripada 507 orang atlet, 220 orang pegawai pasukan dan 204 orang pegawai teknikal dan pemerhati dari 50 negara akan menyertai kejohanan tersebut. Negara-negara yang ikut serta ialah Algeria, Armenia, Australia, Belgium, Benin, Brazil, Bulgaria, Canada, People's Republic of China, Czechia, Egypt, France, Great Britain, Georgia, Germany, Hong Kong, Indonesia, India, Islamic Republic of Iran, Iraq, Italy, Japan, Jordan, Kazakhstan, Republic of Korea, Kuwait, Lao People's Democratic Republic, Lebanon, Lithuania, Macao, Malaysia, Mexico, New Zealand, Philippines, Palestine, Portugal, Romania, Senegal, Singapore, Sri Lanka, Switzerland, Turkmenistan, Chinese Taipei, Tunisia, Türkiye, Ukraine, United States of America, Uzbekistan, Vietnam dan Negara Brunei Darussalam selaku penganjur Kejohanan Wushu Remaja Dunia Ke-9.
Majlis menyaksikan lagi tayangan video pelancongan oleh atlet wushu Negara Brunei Darussalam dan diteruskan dengan sesi soal jawab bersama pihak media.
Kemudian majlis diselajurkan dengan Majlis Penyampaian Sijil kepada para penaja oleh tetamu kehormat. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.
Kejohanan Wushu Remaja Dunia Ke-9 ialah acara kejohanan dunia rasmi yang dianjurkan oleh Persekutuan Wushu Antarabangsa (International Wushu Federation – IWUF). Kejohanan Wushu Remaja Dunia berlangsung setiap 2 tahun dan merupakan kejohanan remaja kemuncak rasmi IWUF dan menampilkan tahap daya saing tertinggi di kalangan atlet remajanya.