Sumber : Siaran Media KKBS
Foto : Md Azinuddin - KKBS, Pg Md Fawzy, Ehzha Ahwaz Safaraz - PSB, Md Nasrullah - JMM
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 29 Muharam 1446/4 Ogos 2024. – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta penglibatan semua kementerian-kementerian yang lain serta Persekutuan Basikal Brunei Darussalam telah menganjurkan Riadah Berbasikal Keputeraan 2024 sempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78 Tahun.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni AlMarhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyertai acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2024 yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.
Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.
Keberangkatan baginda berserta Kerabat Diraja yang lain dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Acara tersebut turut disertai oleh menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap, para jemputan dan orang ramai termasuk warga asing.
Acara riadah dimulakan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung bagi menandatangani Baju Kenangan sempena Riadah Berbasikal Keputeraan 2024 serta berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Yang Mulia Awang Haji Harith bin Pehin Haji Abdul Aziz, Presiden Persekutuan Basikal Brunei Darussalam dan seterusnya berkenan dijunjung bagi sesi bergambar ramai bersama Jawatankuasa Riadah Berbasikal Keputeraan 2024.
Upacara pelepasan riadah berbasikal bermula sejurus air horn dibunyikan oleh Yang Mulia Izzat Ramlee, penggiat seni tanah air.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya mendahului riadah berbasikal mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh 8 kilometer dan melintasi jalan-jalan utama antaranya Jalan Pretty, Jalan Elizabeth 2, Jalan Stoney, Jalan Haji Basir, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Jalan RIPAS, Jalan SOAS dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.
Baginda berserta Kerabat Diraja kemudiannya berkenan menyaksikan perbarisan lalu daripada seramai 78 orang pekayuh basikal terdiri daripada pekayuh basikal atlet negara dan kelab-kelab di bawah Persekutuan Basikal Brunei Darussalam yang diketuai oleh Yang Mulia Pengiran Amar Suriani bin Pengiran Hashim, Atlet Basikal Kebangsaan yang berjaya mengelilingi 78 kilometer yang berlepas sejak pukul 6.15 pagi. Pelepasan acara tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Baginda berserta Kerabat Diraja seterusnya berkenan menyaksikan Perlawanan Akhir Kejohanan Tarik Kalat Peringkat Kebangsaan Kategori C-Remaja U19 (500 kilogram Terkumpul), Peringkat Se-Borneo Kategori Berat (680 kilogram Terkumpul) dan Peringkat Kementerian-Kementerian dan Duta-Duta Kategori Berat (680 kilogram Terkumpul) Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78 Tahun.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah-hadiah bagi Peringkat Kebangsaan Kategori C-Remaja U19 (500 kilogram Terkumpul), Peringkat Se-Borneo Kategori Berat (680 kilogram Terkumpul) dan Peringkat Kementerian-Kementerian dan Duta-Duta Kategori Berat (680 kilogram Terkumpul).
Terlebih dahulu, sebelum acara riadah berbasikal ini diadakan, ianya dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Subuh Berjemaah di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan dan diikuti dengan Tazkirah Subuh bertajuk 'Raja dan Rakyat Tiada Tembok Pemisah' yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah.
Riadah Berbasikal Keputeraan bertujuan sebagai aspirasi negara mempromosikan gaya hidup sihat dengan mempelbagaikan kegiatan sukan riadah bukan sahaja melalui riadah larian ataupun berjalan.
Dengan adanya penyertaan seluruh peringkat, ianya akan menyatupadukan masyarakat supaya lebih erat melalui kegiatan sukan dan secara tidak langsung membangun komuniti sukan yang sihat dan cergas.