![20240721_kohort6-49.jpg](/PublishingImages/Lists/Berita/AllItems/20240721_kohort6-49.jpg)
Sumber : Siaran Akhbar KKBS
Foto : Md Azinuddin - KKBS, Pg Md Fawzy - PSB
DAERAH TEMBURONG, Ahad, 15 Muharram 1446 / 21 Julai 2024 – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Bahagian Khidmat Bakti Negara [BKBN] dengan kolaborasi bersama Pejabat Perancangan Tenaga Manusia (PPTM), Jabatan Perdana Menteri dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kementerian Pendidikan telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran khusus bagi para Pelatih Program Jati Diri Kohort 6 bagi sesi tahun 1446H / 2024M yang dilangsungkan di Dewan Kuliah, Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Kampong Batu Apoi, Daerah Temburong. Seramai 62 orang Pelatih (53 orang lelaki / 9 orang perempuan) Program Jati Diri Kohort 6 yang ikut serta dalam majlis ini tidak termasuk seorang Pelatih Lelaki yang bukan beragama Islam. Hadir sebagai Tetamu Kehormat Majlis adalah Yang Mulia Awang Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis dan diikuti dengan bacaan-bacaan Khatam Al-Quran beramai-ramai, Tahlil dan Takhtim yang diketuai oleh 1700 Pelatih Nur Hanafi bin Haji Abdul Mustafah dari Platun 2 dan bacaan Doa Khatam diketuai oleh 1709 Pelatih Muhammad Sharifful Adli bin Muhammad Zainuddin @ Saiful Adli dari Platun 2. Manakala, Dikir Marhaban yang diketuai oleh Penolong-Penolong Pegawai Keugamaan dan Kerohanian Program Jati Diri Kohort 6 dan diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang disempurnakan oleh 1683 Pelatih Mohamad Shah Fizam bin Mohammad Isa dari Platun 1.
Majlis seterusnya diikuti dengan Sesi Penyampaian Sijil-Sijil Khatam kepada para Pelatih Program Jati Diri Kohort 6 yang disampaikan oleh Tetamu Kehormat Majlis bagi Pelatih Lelaki dan Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Akademik, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kementerian Pendidikan bagi Pelatih Perempuan. Majlis diakhiri dengan Sesi Bergambar Ramai Para Pelatih Program Jati Diri Kohort 6 bersama Tetamu Kehormat Majlis.
Majlis tersebut dihasratkan sebagai landasan bagi para Pelatih Program Jati Diri untuk mengerjakan serta memantapkan pelbagai amal ibadah dan sekaligus mengukuhkan ciri-ciri kerohanian, keimanan dan ketakwaan mereka yang telah ditanamkan disepanjang jangkawaktu mengikuti latihan Program Jati Diri. Ianya juga dihasratkan untuk membentuk para Pelatih Program Jati Diri dan belia yang Syumul serta cemerlang ke arah mendukung konsep 'Melayu Islam Beraja' dan 'Negara Zikir'.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pegawai-Pegawai Kanan dari Pejabat Perancangan Tenaga Manusia (PPTM), Jabatan Perdana Menteri, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.