Sumber : Siaran Media KKBS
Foto: Ak Hussni, Md Azinuddin - KKBS, Pg Md Fawzy - PSB
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 Muharam 1446/10 Julai 2024 – Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja telah mengadakan Multaqa Melayu Islam Beraja bagi Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Multaqa Melayu Islam Beraja ini dikendalikan bersama oleh Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (MTMIB), Kementerian Pendidikan dan Unit Perkembangan Sumber Tenaga Manusia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sebagai Program Bicara Inspirasi (BiSAI) Edisi Khas.
Program ini adalah bertujuan bagi mengukuhkan dan mengembangkan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan Melayu Islam Beraja (MIB) dalam kalangan pegawai dan kakitangan Kerajaan selaras dengan Misi Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja.
Bagi memohon keberkatan majlis, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Syahmi Bahri bin Badarudin, Mahasiswa Latihan, Kementerian, Kebudayaan, Belia dan Sukan dan seterusnya nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Multaqa Melayu Islam Beraja ini diisikan dengan ceramah yang sampaikan oleh Yang Mulia Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong bertajuk Sejarah Negara Melayu Islam Beraja, dan Yang Mulia Dr. Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos bertajuk Melayu Islam Beraja dalam Perkhidmatan Awam.
Program ini telah dihadiri oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, Pegawai dan Kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.