​​​​​​​​

Sesi Muzakarah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara bersama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS)

29012024_Muzakarah MMNKKBS (5).jpg


​Sumber : Siaran Media

Foto : Ak Hussni - KKBS​


TEMBURONG, Isnin, 17 Rejab 1445/29 Januari 2024 – Sesi Muzakarah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara bersama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah diadakan hari ini di Kem Latihan, Program Khidmat Bakti Negara, Batu Apoi.

 

Antara objektif utama Sesi Muzakarah ini ialah untuk mengadakan perbincangan dua hala yang berguna dan produktif bagi semua pihak, ke arah mencapai matlamat Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menuju kecemerlangan di samping berperanan sebagai wadah bagi kedua-dua pihak untuk bercambah fikiran ke arah memberikan nilai tambah dan kemanfaatan bersama.

 

Mengalu-alukan kehadiran Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara ke Sesi Muzakarah tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin bin Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Yang Mulia Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Yang Mulia Dr Dayang Siti Norkhalbi bin Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) serta Ketua-Ketua Bahagian dan Jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

Sebelum sesi muzakarah dimulakan, Ahli-ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara dibawa ke Padang Kawad, Kem Latihan PKBN untuk menyaksikan Latihan Kawad serta persembahan dari pelatih-pelatih Program Khidmat Bakti Negara ke-12.

 

Seterusnya rombongan dibawa ke Dewan Serbaguna untuk menyaksikan Pameran Reruai Perkhidmatan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Pameran ini bertujuan bagi memberikan peluang kepada rombongan Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat untuk mengetahui dengan lebih dekat dan bertanya secara langsung mengenai perkhidmatan, fungsi dan peranan setiap Sektor di bawah Kementerian ​​iaitu Kemasyarakatan, Kebeliaan, Kebudayaan dan Kesukanan (4K).

 

Selesai dari menyaksikan pameran, rombongan seterusnya dibawa ke Dewan Kuliah bagi memulakan sesi muzakarah.

 

Sesi Muzakarah dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan doa oleh Yang Mulia Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus, Pemangku Pengarah Muzium-Muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

Sesi Muzakarah diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan yang diikuti dengan taklimat mengenai pencapaian Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi Tahun Kewangan 2022/2023 disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

KKBS mengalu-alukan hubungan kerjasama rapat dari semua pihak melalui pendekatan senegara atau whole of nation. Dalam pada itu, KKBS amat menghargai usaha Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku pemimpin akar umbi, ​suara dan telinga rakyat untuk sama-sama turun padang dalam memberikan impak dan sumbangan menerajui beberapa inisiatif yang mendukung usaha Kementerian ini.

 

Antara kemajuan utama yang akan terus dicapai adalah menerusi:


a. STRATEGI PERTAMA: Dari Sektor Kemasyarakatan, KKBS akan terus mengembangmaju Masyarakat Cemerlang, Bersatu Padu, Resilien dan Pemedulian; yang memfokus kepada membasmi kemiskinan dan meningkatkan mandiri serta sosio-ekonomi golongan-golongan sasaran.

 

b. STRATEGI KEDUA: Dari Sektor Kebeliaan, KKBS akan terus Menjana Belia Harapan Yang Berwawasan Sebagai Peneraju Pembangunan Negara; yang memfokus kepada mempertingkatkan dua bidang iaitu Pembentukan Ja​ti Diri, dan Modal Insan dalam kalangan Belia.

 

c. STRATEGI KETIGA: Dari Sektor Kesukanan; KKBS akan terus memantapkan Pengukuhan Ekosistem Sukan Supaya Lebih Inklusif dan Cemerlang; yang memfokus kepada sukan prestasi tinggi dan sukan untuk masyarakat.

 

d. STRATEGI KEEMPAT: Dari Sektor Kebudayaan; KKBS akan terus Meningkatkan Pelestarian Budaya, Warisan dan Sejarah; yang memfokus kepada mendaulatkan Bahasa Melayu, Tulisan Jawi dan penerapan budaya, warisan serta sejarah.

 

e. STRATEGI KELIMA: KKBS akan terus akan Memastikan Perkembangan Sistem dan Proses Yang Efisien, Efektif ​dan Tepat Pada Masa; yang memfokus kepada meningkatkan pengoptimuman sumber dan pembangunan sektor-sektor di bawah Kementerian, termasuk pengurusan aset bagi menambahbaik kecekapan operasi, produktiviti dan pulangan pelaburan.

 

Seterusnya ucapan balas daripada Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai Daerah Tutong selaku Ketua Rombongan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.

 

Sesi Muzakarah antara lain memaklumkan perkembangan dan kemajuan yang telah dicapai oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan mengenai Pelan Strategik Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan 2020-2024.

 

Sesi Muzakarah ini juga merupakan satu wadah bagi kedua-dua pihak bertukar-tukar fikiran di samping dapat memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama ke arah mendukung dan merealisasikan visi Kementerian Bangsa Brunei Cemerlang.


29012024_Muzakarah MMNKKBS (1).jpg29012024_Muzakarah MMNKKBS (8).jpg29012024_Muzakarah MMNKKBS (13).jpg 

29012024_Muzakarah MMNKKBS (15).jpg 


​​​​