KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan PKBN Pengambilan ke-12 di Padang Kawad, Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, Daerah Temburong, kelmarin. – Gambar oleh Rafi Rosli
TEMBURONG, 10 MAC – Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) diharap akan terus menghasilkan belia-belia negara yang cemerlang, bertanggungjawab dan berdisiplin, serta mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang dibanggakan.
Sukat-sukat kepimpinan yang dibanggakan itu ialah apabila para belia bersedia untuk menyumbangkan khidmat bakti mereka kepada ummah dan negara, walaupun tanpa imbalan berupa harta benda.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan titah pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan PKBN Pengambilan ke-12 di Padang Kawad, Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, Daerah Temburong, kelmarin.
“Kesediaan seperti ini memang sukar didapati tetapi Beta yakin para belia kita di negara ini boleh dipercayai sebagai tidak menghampakan. Terutama para belia pada era merdeka, mereka malu untuk menarik diri daripada perjuangan memperkasa bangsa dan negara.
“Mereka sedar bahawa mereka adalah ejen masa depan yang cepat berubah. Mereka tidak sanggup untuk menunggu lama-lama sebarang perubahan yang menjadi sasaran,” titah Baginda.
Selain itu, Baginda juga berharap PKBN akan dapat dipertingkatkan lagi melalui nilai tambah ke arah program yang lebih holistik dan inklusif termasuk dengan mengambil kira tahap kecergasan dan juga kesihatan mental para pelatih.
Ke arah itu, sokongan dan dukungan oleh institusi keluarga adalah sangat penting dalam sama-sama mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pelatih-pelatih meraih kecemerlangan, dengan mengambil kira semua elemen ini, Insya-Allah PKBN akan lebih inklusif dan boleh memberikan kesan yang berpanjangan kepada cara hidup para pelatih sehingga menjadi orang yang berjaya di dunia dan di akhirat.
“Sebagai langkah ke hadapan, Beta berharap PKBN ini akan dapat juga melatih lebih ramai lagi para belia seperti melibatkan lepasan-lepasan institusi pendidikan tinggi supaya kesan baik daripadanya boleh memberikan belia-belia kemahiran dan keyakinan untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan sekali gus mencapai matlamat Wawasan Negara 2035,” titah Baginda.
Terdahulu dalam titah, Baginda mengucapkan syabas kepada pelatih-pelatih PKBN atas pertunjukan perbarisan yang penuh semangat dan seterusnya mengucapkan tahniah kepada semua 469 orang pelatih PKBN Pengambilan ke-12 atas kecekalan mereka mengikuti latihan selama 14 minggu dengan penuh semangat dan sabar.
“Ini bererti seramai lebih 4,000 orang belia telah pun berjaya mengikuti latihan ini sejak penubuhan PKBN 11 tahun yang lalu. Beta turut berbangga atas pencapaian ini sambil tidak lupa merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para ibu bapa dan penjaga atas dorongan dan sokongan mereka untuk kejayaan program ini,” titah Baginda.
Di penghujung titah, Baginda juga merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak pengurusan dan para jurulatih PKBN atas usaha mereka melatih dan mendidik para pelatih.
“Semoga PKBN serta Kem PKBN akan terus berkembang maju dan sentiasa dalam pemeliharaan Allah SWT. Amin Ya Rabbal Alamin,” titah Baginda.